Pernah tak anda terdengar tentang rusa babi atau hog deer? Nama haiwan ini mungkin kedengaran agak pelik dan mengelirukan kerana ada perkataan “babi”, membuatkan ramai tertanya-tanya sama ada ia halal atau haram dimakan dalam Islam.
Persoalan ini sebenarnya pernah dijawab oleh Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi portal rasmi beliau selepas menerima pertanyaan daripada orang ramai.
HUKUM MEMAKAN RUSA BABI (HOG DEER)
Menurut penjelasannya, walaupun namanya disebut sebagai rusa babi, hakikatnya haiwan tersebut tetap merupakan spesies rusa dan bukannya babi seperti yang ramai sangka.
Kenapa dipanggil rusa babi?
Secara ringkas, hog deer atau rusa babi India (Axis porcinus) ialah sejenis rusa kecil yang berasal dari kawasan Asia Selatan hingga Asia Tenggara.
Ia dipanggil “rusa babi” bukan kerana berasal daripada spesies babi, tetapi disebabkan tingkah lakunya yang sedikit berbeza berbanding rusa lain.
Menurut penerangan Dr Zulkifli, haiwan ini berjalan dengan kepala lebih rendah dan cenderung meredah halangan seperti semak, hampir menyerupai cara pergerakan babi dan bukannya melompat ke atas mereka, seperti kebanyakan rusa lain.
Selain itu, rusa babi juga ialah haiwan herbivor yang memakan rumput serta tumbuhan seperti daun.
Baca juga: Hebat! Mahasiswa Ini Cipta Aplikasi AI Bantu Kanak-Kanak Hafal Al-Quran, Menang Pertandingan Apple

Gambar hiasan: Gemini AI
Jadi, halal atau haram dimakan?
Menjawab persoalan ramai, Dr Zulkifli berpandangan bahawa hukum makan rusa babi adalah halal.
Beliau menjelaskan bahawa hukum asal bagi sesuatu haiwan adalah harus dimakan selagi tiada dalil yang jelas mengharamkannya.
“Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa rusa babi atau hog deer adalah halal untuk dimakan,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, rusa secara umumnya memang termasuk dalam kategori haiwan halal menurut kesepakatan ulama.
Malah, nama “rusa babi” itu tidak mengubah hakikat sebenar haiwan tersebut kerana Islam melihat sesuatu berdasarkan sifat asalnya, bukan semata-mata pada nama.
Justeru kaedah ada menyebutkan:
العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا
Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”
Namun ada satu perkara penting perlu diambil kira
Walaupun halal dimakan, Dr Zulkifli turut mengingatkan bahawa orang ramai perlu menghormati undang-undang negara, termasuk sama ada haiwan tersebut tergolong dalam spesies dilindungi atau tertakluk kepada larangan pemburuan.
Jika terdapat sekatan undang-undang, maka peraturan itu perlu dipatuhi walaupun hukumnya halal dimakan.
Sumber: Portal Zulkifli Al-Bakri
FT Image: Gemini AI

