Baru-baru ini, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu berkongsi satu kisah penuh inspirasi apabila pasukan perubatannya berjaya merawat dan membedah bayi pramatang iaitu bayi yang paling kecil yang pernah dikendalikan di hospital berkenaan, dengan berat hanya 500 gram ketika dilahirkan.
Baca juga: Anak Kecil Conteng Pasport Sampai Rosak Sebelum Fly, Terpaksa Tangguh Penerbangan & Tambah RM620!
BAYI PRAMATANG BERJAYA HARUNGI DUA PEMBEDAHAN DI HSNZ

Foto: Hospital Sultanah Nur Zahirah
Kejayaan tersebut bukan sahaja membuktikan kemajuan teknologi dan kepakaran perubatan masa kini, malah menjadi simbol dedikasi serta kerjasama luar biasa dalam kalangan petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa si kecil itu.
Perjalanan hidup bayi pramatang tersebut bukanlah mudah. Ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), beliau disahkan mengalami Necrotising Enterocolitis (NEC), iaitu satu keadaan serius yang menyebabkan keradangan dan kerosakan pada usus bayi.
Keadaan menjadi lebih kritikal apabila berlaku kebocoran usus yang memerlukan pembedahan major kecemasan.
Lebih mengagumkan, ketika menjalani pembedahan pertama itu, bayi berkenaan baru berusia lima hari dan masih seberat 500 gram.
Walaupun berdepan risiko yang sangat tinggi, pasukan pakar pelbagai disiplin HSNZ berjaya melaksanakan prosedur tersebut dengan selamat demi memberi peluang kepada bayi itu untuk terus hidup.
Jalani Pembedahan Kedua Selepas Tiga Bulan

Foto: Hospital Sultanah Nur Zahirah
Selepas melalui fasa rawatan intensif yang panjang, bayi tersebut sekali lagi perlu menjalani pembedahan tiga bulan kemudian bagi menutup stoma yang dibentuk semasa prosedur pertama.
Pembedahan kedua itu turut berjaya dilaksanakan tanpa komplikasi besar, sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam proses pemulihannya.
Sepanjang hampir empat bulan berada di NICU, bayi kecil ini terus menunjukkan semangat juang yang luar biasa.
Setiap hari merupakan satu perjuangan baharu untuk membesar, menambah berat badan dan menguatkan tubuhnya.
Akhirnya Pulang Ke Pangkuan Keluarga
Hasil usaha berterusan pasukan kepakaran multidisiplin, jururawat NICU dan seluruh warga kesihatan yang terlibat, bayi tersebut akhirnya cukup kuat untuk dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.
Kisah ini menjadi bukti bahawa keajaiban dalam dunia perubatan bukan sekadar bergantung kepada teknologi atau kepakaran semata-mata, tetapi turut lahir daripada gabungan ilmu, dedikasi, doa serta harapan yang tidak pernah putus.
Daripada hanya 500 gram ketika dilahirkan, bayi ini berjaya mengharungi pelbagai cabaran besar sebelum akhirnya melangkah keluar dari NICU sebagai seorang pejuang kecil yang memberi inspirasi kepada ramai.
Baca juga: T20 Kedekut ‘Tip’, B40 Lagi Pemurah? Pengakuan Rider Ini Buat Netizen Bertekak & Panas Hati!
Sumber: Facebook Hospital Sultanah Nur Zahirah
FT Images: Facebook Hospital Sultanah Nur Zahirah
