Gempa bumi di Filipina kuat berukuran 7.8 magnitud melanda luar pesisir Pulau Mindanao pada pagi Isnin dan situasi ini pastinya mencemaskan orang ramai.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan maut manakala beberapa bangunan mengalami kerosakan akibat gegaran kuat yang turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa lokasi. Ombak setinggi 1.4 meter turut direkodkan susulan gempa tersebut.
SEKITAR SUASANA GEMPA BUMI DI FILIPINA

Penduduk di kawasan berhampiran pantai dilaporkan segera berpindah ke lokasi yang lebih tinggi selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan. Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., turut mengarahkan usaha pemantauan dan bantuan kecemasan dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas.
Gempa yang berlaku pada kedalaman 33 kilometer itu berpusat berhampiran bandar Maasim di Wilayah Sarangani, tidak jauh dari General Santos City yang mempunyai populasi sekitar 700,000 orang.
Di media sosial, ramai warga Filipina berkongsi detik-detik cemas ketika gegaran berlaku. Ada yang meninggalkan rumah dan premis perniagaan secara tergesa-gesa, manakala pasukan penyelamat terus menjalankan penilaian kerosakan serta operasi bantuan.
Dalam masa sama, penduduk di Sabah turut mengikuti perkembangan situasi tersebut memandangkan kedudukan negeri itu yang berdekatan dengan selatan Filipina. Walaupun tiada laporan kesan besar di Sabah setakat ini, ramai yang menzahirkan kebimbangan dan berharap keadaan dapat dikawal dengan segera.

Doa yang boleh dibaca untuk perlindungan
Sehubungan itu, orang ramai turut diajak untuk memperbanyakkan doa memohon perlindungan daripada sebarang musibah.
Semoga Allah SWT melindungi Sabah dan seluruh penduduknya daripada sebarang musibah, serta memudahkan segala urusan pasukan keselamatan dalam memantau keadaan ini.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ الْبَلَاءِ وَدَرَكِ الشَّقَاءِ وَسُوءِ الْقَضَاءِ وَشَمَاتَةِ الْأَعْدَاءِ
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ وَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Maksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada beratnya ujian, kesengsaraan, takdir yang buruk, dan kegembiraan musuh terhadap musibahku.
“Cukuplah Allah bagi kami, dan Dialah sebaik-baik Pelindung. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (pertolongan) Allah.”
Semoga Allah menenangkan hati kita dalam setiap ujian, mengurniakan kekuatan dalam setiap kesempitan, dan menggantikan kesusahan dengan rahmat serta jalan keluar yang indah.
Filipina sememangnya sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan yang terkenal dengan aktiviti seismik dan gunung berapi yang aktif. Justeru, pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa amat penting bagi mengelakkan risiko yang lebih besar kepada penduduk setempat.
View this post on Instagram
Sumber: Berita RTM & Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
