Ramai yang melihat kelestarian sebagai sesuatu yang kompleks atau sukar diamalkan dalam kehidupan seharian. Namun, persepsi itu cuba diubah menerusi Festival Bumi Kita yang berlangsung pada 6 dan 7 Jun lalu di PARC, Subang Jaya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.
Dianjurkan oleh Acacia Blue dan Invictus Blue, Festival Bumi Kita merupakan festival kelestarian pengguna pertama di Malaysia yang memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat, mencuba dan mengalami sendiri amalan lestari secara lebih dekat.
View this post on Instagram
Sebagai platform yang menghimpunkan komuniti, NGO, jenama dan orang awam, festival ini mengetengahkan pelbagai inovasi serta penyelesaian yang boleh membantu masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih lestari.
Daripada teknologi penjimatan tenaga dan pengurusan sisa makanan hinggalah kepada inovasi makanan dan pembangunan bandar mampan, semuanya dipersembahkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami dan didekati.
Lebih 30 aktiviti interaktif untuk semua

Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai lebih 30 aktiviti interaktif termasuk Sustainable Coffee Rave dengan konsep bawa cawan sendiri, bengkel kitar semula kreatif, pameran Black Soldier Fly dan mikroalga serta sesi larian komuniti.
Selain itu, terdapat juga aktiviti pickleball percuma, pewarnaan semula jadi menggunakan indigo, pengalaman bot naga serta forum yang menghimpunkan pemimpin belia, aktivis dan pakar industri.
Selain aktiviti komuniti, festival ini turut menampilkan pelbagai jenama dan organisasi yang berkongsi penyelesaian kelestarian dalam bidang masing-masing.
Pelbagai inovasi kelestarian dipamerkan

LG Malaysia memperkenalkan pelbagai teknologi pintar yang membantu pengguna mengurus penggunaan tenaga dengan lebih cekap di rumah. Antaranya termasuk peti sejuk, penghawa dingin dan televisyen pintar yang boleh dipantau melalui aplikasi LG ThinQ bagi membantu pengguna memahami dan mengawal penggunaan elektrik harian dengan lebih mudah.
Inisiatif ini selari dengan komitmen LG menerusi pelan Better Life Plan 2030 yang memberi fokus kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan masyarakat.


Dalam sektor makanan pula, Sumo Wonder memperkenalkan roti berasaskan okara, iaitu hampas kacang soya yang lazimnya menjadi sisa dalam proses penghasilan makanan.
Dikenali sebagai antara roti okara pertama di Malaysia, produk halal ini bukan sahaja tinggi protein dan serat, malah membuktikan bahawa usaha mengurangkan pembaziran makanan juga boleh menghasilkan makanan yang lazat dan berkhasiat.
Volvo Car Malaysia pula membawa mesej keselamatan jalan raya menerusi Selamat Calculator, sebuah platform digital yang dibangunkan bersama Mr Money TV.
View this post on Instagram
Melalui alat ini, pengguna boleh mengetahui profil risiko keselamatan mereka berdasarkan faktor seperti umur, pendapatan, tanggungan dan gaya hidup, sekali gus memahami impak kewangan serta emosi yang mungkin ditanggung keluarga sekiranya berlaku kemalangan.
Sementara itu, Urby mengetengahkan pendekatan unik dalam pembangunan bandar mampan dengan menghidupkan semula rumah-rumah lama dan terbiar sebelum dijadikan kediaman moden untuk pemilik baharu.
Model ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran sumber, malah memberi nafas baharu kepada kawasan kejiranan sedia ada.
View this post on Instagram

Turut mencuri perhatian ialah Promise Earth yang mempamerkan teknologi pengkomposan pintar bagi menukarkan sisa makanan seperti ayam, makanan laut, sayur-sayuran dan lebihan makanan kepada kompos serta produk berasaskan nutrien yang boleh digunakan semula.
Teknologi ini membantu mengurangkan jumlah sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan sambil menyokong konsep ekonomi kitaran.
Kelestarian yang lebih dekat dengan kehidupan harian

Berbeza dengan kebanyakan acara yang memberi tumpuan kepada teori dan kesedaran semata-mata, Festival Bumi Kita membuktikan bahawa kelestarian boleh diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan harian, daripada cara kita menggunakan tenaga di rumah, memilih makanan, memandu dengan lebih selamat, mengurus hartanah hinggalah mengendalikan sisa makanan.
Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk jenama, NGO, komuniti dan orang awam, festival ini berjaya mewujudkan ruang yang menghubungkan idea, inovasi dan tindakan ke arah masa depan yang lebih lestari.
Untuk perkembangan terkini mengenai program akan datang, orang ramai boleh mengikuti Festival Bumi Kita menerusi Instagram @bumikitafestival.
