Euforia Bola 2026
Famili

Perjalanan Ke Sekolah Berakhir Tragedi, Kanak-Kanak 8 Tahun Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

kemalangan motosikal

Perjalanan ke sekolah yang sepatutnya menjadi rutin biasa bertukar menjadi detik paling menyedihkan buat sebuah keluarga apabila seorang murid Tahun Tiga maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Cheras menghala ke Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Mangsa, Nur Inara Aisyah, 8, dilaporkan menaiki motosikal bersama ibu dan bapanya sebelum terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah SUV dan sebuah lagi motosikal sekitar jam 8.18 pagi.

Baca juga: Kes Bayi Dicampak Dari Tingkat 10: Wanita Mohon Jaminan, Dakwa Perlu Jaga Seorang Lagi Bayi

KANAK KANAK 8 TAHUN MAUT DALAM KEMALANGAN MOTOSIKAL

kemalangan motosikal

Foto: Astro Awani

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, siasatan awal mendapati motosikal jenis SYM Husky 150 SE yang dinaiki mangsa bersama ibu bapanya dipercayai sedang mencelah di antara lorong kiri dan kanan ketika keadaan trafik sesak.

Beliau berkata, motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Honda CRV yang berada di lorong kanan jalan.

Sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang berada di belakang pula tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal berkenaan sebelum kedua-duanya terjatuh di atas jalan.

Akibat kemalangan itu, Nur Inara mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, bapanya yang berusia 35 tahun mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan kedua-dua belah kaki, manakala ibunya yang sebaya cedera pada tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Pemandu Honda CRV berusia 59 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal Yamaha Y15ZR berusia 47 tahun hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian lutut kiri.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemergian Nur Inara Aisyah Undang Kesedihan Warga Sekolah

kemalangan motosikal

Foto: Astro Awani

Berita pemergian Nur Inara Aisyah turut mengundang rasa pilu dalam kalangan warga SK Alam Damai, tempat arwah menuntut ilmu.

Rakan-rakan sekolah yang sebelum ini bergelak ketawa dan belajar bersama kini hanya mampu mengenang kenangan bersama seorang sahabat yang pergi terlalu awal.

Kehilangan seorang anak sememangnya sukar digambarkan dengan kata-kata. Lebih menyedihkan apabila pagi tersebut mungkin bermula seperti hari-hari biasa buat keluarga ini, namun berakhir dengan satu kehilangan yang akan dikenang sepanjang hayat.

Di media sosial, ramai netizen turut meluahkan rasa sebak selepas mengetahui usia mangsa yang masih terlalu muda.

Rata-rata menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar kedua ibu bapanya diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat berat ini.

Orang Ramai Diminta Tampil Bantu Siasatan

Dalam pada itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan.

Orang ramai boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarhamah Nur Inara Aisyah. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini serta semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Baca juga: Tak Perlu Lagi Tunggu Lama Di Farmasi Hospital, Guna Aplikasi MyUBAT Untuk Ambil Ubat Tanpa Beratur!

Sumber: Berita Harian 

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×