Keinginan untuk tampil lebih yakin menerusi pembedahan mata akhirnya bertukar menjadi pengalaman pahit yang mengubah kehidupan seorang wanita di China.
Apa yang pada mulanya dianggap sebagai pembedahan kosmetik biasa untuk memperbaiki penampilan mata berakhir dengan penderitaan fizikal, trauma emosi dan pertikaian undang-undang yang berlarutan selama bertahun-tahun.
Baca juga: Kekal Anggun Jelita, Rakyat Titip Doa Buat Tengku Permaisuri Selangor Sempena Ulang Tahun Ke-55
PEMBEDAHAN MATA GAGAL, WANITA TIDUR MATA TERBUKA

Mangsa yang dikenali sebagai Wang dilaporkan terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa selama enam tahun selepas mengalami komplikasi serius akibat pembedahan kelopak mata yang dijalaninya di sebuah klinik kecantikan di Suzhou, wilayah Jiangsu.
Menurut laporan media luar negara, kejadian itu bermula pada Jun 2020 apabila Wang mendapatkan rawatan di Klinik Pembedahan Kosmetik Meixi untuk menjalani prosedur kelopak mata berganda atau lebih dikenali sebagai blefaroplasti Asia.
Prosedur tersebut merupakan antara rawatan kosmetik yang popular di beberapa negara Asia kerana ia bertujuan membentuk atau memperjelaskan lipatan pada kelopak mata atas bagi menghasilkan penampilan mata yang lebih besar dan jelas.
Bagi Wang, prosedur berkenaan dilihat sebagai satu rawatan rutin yang tidak mempunyai risiko besar. Selepas membayar sebanyak 12,000 yuan, bersamaan kira-kira RM8,000, dia menjalani pembedahan yang dilakukan oleh seorang wanita dikenali sebagai Meng.
Meng dikatakan memperkenalkan dirinya sebagai pengarah pemasaran klinik tersebut dan terlibat dalam pelaksanaan prosedur berkenaan.
Selepas pembedahan selesai, Wang dibenarkan pulang pada hari yang sama. Namun, kegembiraannya tidak bertahan lama apabila dia mula mengalami kesakitan yang teruk pada malam hari selepas prosedur tersebut dijalankan.
Bimbang dengan keadaan yang dialaminya, Wang menghubungi Meng untuk mendapatkan penjelasan dan nasihat lanjut. Bagaimanapun, Meng didakwa hanya memaklumkan bahawa keadaan itu adalah normal dan kesakitan yang dialami akan beransur pulih dalam tempoh beberapa hari.
Malangnya, keadaan mata Wang bukan sahaja tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan, malah menjadi semakin serius dari hari ke hari.
Kelopak mata mula terkeluar

Kelopak matanya dilaporkan mula terkeluar secara tidak normal dan mengeluarkan cecair dalam jumlah yang banyak sehingga mengalir tanpa henti di bahagian wajahnya.
Keadaan tersebut menyebabkan Wang mengalami kesakitan berpanjangan selain kesukaran menjalani kehidupan harian seperti biasa.
Lebih memburukkan keadaan, Wang mendakwa individu yang menjalankan pembedahan tersebut gagal memberikan bantuan sewajarnya apabila panggilan dan mesej yang dihantar tidak mendapat maklum balas.
Akibat bimbang dengan komplikasi yang semakin serius, dia akhirnya mendapatkan rawatan kecemasan di sebuah hospital utama di kawasan berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati saluran air matanya mengalami kerosakan serius yang dipercayai berpunca daripada kesilapan ketika prosedur pembedahan dijalankan.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan fungsi normal matanya, malah memberi kesan besar terhadap kualiti hidup Wang.
Laporan turut menyebut bahawa kecederaan yang dialaminya akhirnya diklasifikasikan sebagai kecacatan tahap sembilan oleh pihak berkuasa pada tahun 2022.
Sejak kejadian itu, Wang dikatakan berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk kemurungan dan insomnia akibat tekanan emosi yang berpanjangan.
Difahamkan, dia turut mengalami kesukaran untuk menutup mata dengan sempurna sehingga terpaksa tidur dalam keadaan mata terbuka pada sesetengah waktu.
Sumber: SCMP
