Dalam masyarakat Melayu, penggunaan garam sering dikaitkan dengan pelbagai petua dan kaedah rawatan islam dan tradisional.
Ada yang menggunakan garam untuk diminum, dijadikan bahan sapuan pada bahagian tertentu badan, malah ada juga yang mempercayai garam mampu menghalang gangguan makhluk halus atau mengelakkan perkara buruk daripada berlaku.
Baca juga: JPN Umum MyKad Generasi Baharu, Pemegang 3 Jenis IC Lama INI Disaran Tukar Segera
RAWATAN ISLAM GUNA GARAM, APA HUKUMNYA?

Foto: Magnific
Ada yang melihat penggunaan garam sekadar sebagai usaha ikhtiar, manakala sebahagian lagi mengaitkannya dengan unsur mistik dan kepercayaan tertentu.
Menerusi satu perkongsian, hukum asal penggunaan garam dalam rawatan adalah harus selagi ia digunakan sebagai ikhtiar yang munasabah dan tidak disandarkan kepada unsur khurafat atau kepercayaan yang bercanggah dengan syariat.
Harus Jika Berdasarkan Pengalaman Dan Ikhtiar
Menurut penjelasan tersebut, penggunaan garam sama ada untuk diminum atau disapu pada anggota badan dibolehkan jika ia berdasarkan pengalaman atau pemerhatian yang menunjukkan terdapat kesan positif kepada proses pemulihan seseorang.
Bagaimanapun, keberkesanan ini bergantung kepada individu kerana ada yang merasakan ia membantu, manakala ada juga yang tidak memperoleh sebarang perubahan.
Oleh itu, penggunaan garam dalam rawatan boleh dijadikan sebagai salah satu usaha atau ikhtiar selagi dilakukan secara sederhana, munasabah dan tidak berlebihan.
Haram Jika Ada Kepercayaan Khurafat

Foto: Gemini AI
Walau bagaimanapun, hukum penggunaan garam boleh berubah menjadi haram sekiranya ia dilakukan atas dasar kepercayaan tahyul dan khurafat.
Antara contoh yang sering berlaku ialah menabur garam di sekeliling rumah dengan kepercayaan bahawa syaitan takut kepada garam atau garam mampu menghalang makhluk halus daripada memasuki rumah.
Kepercayaan seperti ini tidak mempunyai sandaran yang sah dalam Islam dan tergolong dalam amalan yang perlu ditolak kerana boleh menjejaskan akidah seseorang.
Islam menegaskan bahawa perlindungan daripada gangguan syaitan hendaklah diperoleh melalui amalan yang diajar syarak seperti membaca al-Quran, berzikir, berdoa serta memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT.
Islam Menolak Kepercayaan Tahyul
Perkongsian tersebut turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak ada penyakit berjangkit (yang merebak dengan sendirinya tanpa izin Allah), tidak ada kepercayaan sial, tidak ada burung hantu pembawa sial dan tidak ada Safar (bulan Safar yang membawa kesialan).”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa Islam menolak kepercayaan karut dan tahyul yang mengaitkan sesuatu benda, tempat atau keadaan tertentu dengan nasib malang atau kesialan.
Selain itu, Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.”
Menurut tafsiran ulama, ayat ini menjadi peringatan agar umat Islam tidak mengikuti sesuatu kepercayaan atau amalan tanpa ilmu dan dalil yang jelas.
Gunakan Garam Dalam Rawatan Islam Sebagai Ikhtiar
Kesimpulannya, penggunaan garam dalam rawatan tidak menjadi masalah dari sudut syarak jika ia sekadar ikhtiar berdasarkan pengalaman dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Namun, apabila garam dipercayai mempunyai kuasa tertentu untuk menghalang syaitan, menolak bala atau membawa perlindungan secara sendiri, maka kepercayaan tersebut perlu ditinggalkan kerana termasuk dalam unsur tahyul dan khurafat yang ditegah agama.
Baca juga: Kes Bayi Dicampak Dari Tingkat 10: Wanita Mohon Jaminan, Dakwa Perlu Jaga Seorang Lagi Bayi
Sumber: Facebook Rawatan Islam Pulau Pinang
FT Images: Magnific dan Gemini AI
