Tidak dinafikan ada sesetengah pasangan suka menunjukkan kemesraan di media sosial, namun aksi dalam kereta yang tular baru-baru ini nampaknya membawa padah apabila pasangan terbabit bakal berdepan tindakan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Baca juga: Pasport Baharu Tangguh, Ini 10 Perkara Lain Mulai 1 Jun 2026 Akan Berubah Yang Rakyat Wajib Tahu
AKSI MANJA DALAM KERETA BAWAH PADAH
Tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang wanita melakukan aksi manja ketika pasangannya sedang memandu kereta.
Apa yang mencetuskan kebimbangan ramai apabila wanita berkenaan dilihat tidak memakai tali pinggang keledar dan duduk menghadap pemandu sambil bersandar pada papan pemuka kenderaan.
Situasi itu bukan sahaja mengundang kecaman warga maya, malah ramai menyifatkannya sebagai tindakan yang membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
JPJ sedang jalankan siasatan
Menurut laporan, JPJ akan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang memandu kereta bersama pasangan wanita tersebut selepas video mereka tular di media sosial.
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Tangkap layar imej dari video tular
“Tindakan akan diambil terhadap pemandu dan penumpang kereta terbabit.
“Siasatan masih berjalan dan selepas selesai kita akan mengeluarkan saman kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Difahamkan, tindakan saman bakal dikenakan terhadap kedua-dua individu selepas siasatan lengkap dilakukan.
Aksi berbahaya undang kecaman ramai
Sebelum ini, video pasangan terbabit menjadi bualan ramai selepas dimuat naik sendiri ke media sosial sehingga tersebar ke platform lain.
Dalam video berkenaan, wanita itu dilihat tidak memakai tali pinggang keledar dan duduk dalam posisi yang dianggap sangat berisiko jika berlaku kecemasan atau kemalangan.
Rata-rata warga maya meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan tersebut kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan serius atau lebih buruk sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Ada juga warga maya mempersoalkan tindakan merakam dan berkongsi aksi seperti itu secara terbuka sehingga mengundang perhatian pihak berkuasa.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Media sosial

