Berita mengenai Nur Izzati Humaira Azizul yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim akhirnya berakhir dengan khabar duka apabila remaja berusia 19 tahun itu ditemukan meninggal dunia tengah hari tadi.
Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebentar tadi selepas beberapa hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan keberadaan mangsa.
NUR IZZATI DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA

Al-Fatihah kepada Almarhumah Nur Izzati Humaira Azizul.
“Nur Izzati Humaira Azizul yang dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa Sabtu lepas, ditemukan meninggal dunia tengah hari ini,” JBPM.
[Dikemaskini] Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, mayat Nur Izzati ditemukan oleh pasukan penyelamat pada kira-kira jam 11.59 pagi di kawasan luar laluan pendakian.
“Mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Pasukan SAR mengambil masa 20 minit membawa mayat ke PKTK menggunakan pengusung,” katanya kepada BERNAMA di PKTK hari ini.
Difahamkan, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.
Operasi pencarian Nur Izzati jadi perhatian ramai

Terdahulu, SAR yang masuk hari keempat hari ini dimulakan pada 8 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi keselamatan selepas ditangguhkan pada 6.30 petang semalam.
Sepanjang pencarian, operasi turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung, sukarelawan serta unit anjing pengesan K9.
Kes kehilangan Nur Izzati sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas dia dipercayai tersesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa pada Sabtu lalu.
Difahamkan, Nur Izzati meminta kunci kereta dan beg galas daripada ibunya kerana mahu turun lebih awal untuk berehat selepas memaklumkan dirinya penat dan tidak tahan panas.
Namun, ibunya kemudian mendapati remaja itu tiada di kawasan parkir sebelum laporan kehilangan dibuat dan operasi SAR digerakkan.
Operasi pencarian membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung, sukarelawan serta unit anjing pengesan K9.
Sepanjang operasi berlangsung, ramai rakyat Malaysia mengikuti rapat perkembangan kes tersebut dan menitipkan doa agar Nur Izzati ditemukan dalam keadaan selamat.
Malah, pelbagai perkongsian mengenai usaha pasukan SAR turut tular di media sosial sehingga mengundang perhatian ramai.
FT Image: BERNAMA
