Masjid Seksyen 7 Shah Alam mencuri perhatian ramai selepas memperkenalkan satu kemudahan baharu yang cukup moden dan praktikal untuk kegunaan jemaah iaitu mesin layan diri cuci songkok, kopiah dan helmet.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif masjid dalam menyediakan kemudahan lebih bersih, selesa dan relevan dengan keperluan komuniti masa kini.
Baca juga: Pengguna Kongsi Bil Elektrik Turun Dari RM512 Ke RM109, Tukar Aircond Jenis Ini Memang Berbeza!
MESIN CUCI SONGKOK, KOPIAH & HELMET DI MASJID SEKSYEN 7 SHAH ALAM

Mesin tersebut boleh digunakan untuk membersihkan pelbagai barangan seperti kopiah, songkok dan helmet, sekali gus membantu memastikan kelengkapan harian jemaah sentiasa dalam keadaan lebih segar dan bersih.
Menurut perkongsian, proses pembersihan dalam mesin ini menggunakan teknologi UV sterilization, atomisasi, pengeringan suhu tinggi serta ion negatif. Gabungan teknologi ini membantu mengurangkan bakteria serta bau, selain memastikan barangan lebih bersih dan selamat untuk digunakan semula.
“Memperkenalkan mesin layan diri pembasmian kuman UV di Masjid Seksyen 7. Boleh digunakan untuk membersihkan kopiah, songkok dan helmet. Lebih bersih, segar dan selesa untuk kegunaan harian jemaah. Satu lagi usaha kecil masjid ke arah kemudahan yang lebih moden untuk komuniti,” tulis di Threads.
Lebih menarik, usaha kecil ini dianggap sebagai satu langkah ke arah kemudahan masjid yang lebih moden tanpa mengabaikan fungsi utama sebagai pusat komuniti Islam.

Tinjauan di ruangan komen pula mendapati rata-rata warganet memberikan reaksi positif terhadap inisiatif tersebut. Ramai memuji usaha masjid ini yang dilihat kreatif dalam menyediakan kemudahan tambahan kepada jemaah, terutama dalam aspek kebersihan dan keselesaan.
Inisiatif seperti ini juga dianggap selari dengan keperluan semasa, di mana kebersihan dan penjagaan barangan peribadi menjadi semakin penting dalam kehidupan harian.
Dengan adanya kemudahan seperti ini, Masjid Seksyen 7 Shah Alam bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah turut tampil sebagai pusat komuniti yang mesra teknologi dan prihatin terhadap keperluan jemaah.
Baca juga: Rasa Tak Sedap Hati Jalan Seorang Malam-Malam ? Baru Tahu Ada Fungsi ‘Bodyguard’ Dalam Google Maps!
