Pernah tak anda tidur lena seperti biasa, tetapi tiba-tiba terjaga tengah malam sekitar pukul 3 atau 4 pagi tanpa sebab? Lebih mencabar, bila cuba pejam mata semula, otak pula terasa fresh dan susah untuk kembali lena sampai waktu Subuh.
KENAPA BOLEH TERJAGA PUKUL 3 ATAU 4 PAGI?

Gambar hiasan: Gemini AI
Menurut perkongsian Dr Khaw (@drkhaw_familymedicine) yang merupakan pakar perubatan keluarga dan pengamal perubatan am (GP) di Threads, keadaan ini sebenarnya ada istilah dalam dunia perubatan iaitu Early Awakening Insomnia atau Terminal Insomnia.
Berbeza dengan individu yang sukar melelapkan mata sejak awal (Onset Insomnia).
Golongan individu yang terjaga tengah malam biasanya tiada masalah untuk tidur, tetapi sukar untuk kekal tidur apabila terjaga terlalu awal.
Jika keadaan ini berlaku sekali-sekala mungkin tidak membimbangkan, tetapi kalau dah jadi rutin hampir setiap malam, badan sebenarnya mungkin sedang memberi petanda ada sesuatu yang tidak kena.
Baca juga: Mama Papa Jangan Sembur Sembarangan, Ini Cara Betul Guna Nasal Spray Pada Bayi & Anak Kecil
INI ANTARA PUNCANYA!
1. Paras hormon stres (kortisol) terlalu tinggi
Salah satu punca paling biasa adalah peningkatan hormon stres atau kortisol.
Biasanya, hormon ini berada pada paras rendah ketika waktu malam dan meningkat secara perlahan sebelum kita bangun pagi. Namun jika seseorang sedang berdepan stres, burnout atau terlalu banyak berfikir, kortisol boleh meningkat terlalu awal.
Kesannya, otak seolah-olah ‘dipaksa’ untuk bangun sebelum waktunya walaupun badan masih penat.
2. Petanda kemurungan
Ramai tak sedar bahawa kerap terjaga terlalu awal juga boleh menjadi salah satu tanda kemurungan (clinical depression).
Dalam bidang psikiatri, individu yang mengalami keadaan ini sering bangun awal pagi dengan perasaan berat di dada, kosong, sedih atau gelisah tanpa sebab yang jelas.
Jika ia berlaku berterusan bersama perubahan emosi, jangan abaikan tanda tersebut.
3. Faktor usia dan perubahan jam biologi badan
Semakin meningkat usia, jam biologi badan (circadian rhythm) turut berubah.
Badan menghasilkan hormon tidur (melatonin) yang lebih rendah menyebabkan seseorang lebih mudah tidur awal tetapi turut cenderung bangun terlalu awal, sebab itu ramai warga emas mudah berjaga seawal pagi.
4. Masalah tidur seperti sleep apnea
Kadang-kadang anda bukan sengaja terbangun, tetapi badan sedang cuba ‘menyelamatkan diri’.
Individu yang mengalami sleep apnea mungkin berhenti bernafas seketika ketika tidur, menyebabkan otak menghantar isyarat kecemasan untuk bangun demi mendapatkan oksigen.
Jika anda berdengkur kuat, tercekik ketika tidur atau kerap mengantuk waktu siang, elok dapatkan pemeriksaan lanjut.

Gambar hiasan: Gemini AI
TIP SURVIVAL BILA TERJAGA TENGAH MALAM & TAK BOLEH TIDUR SEMULA
1. Guna ‘Peraturan 20 minit’
Kalau dah cuba tidur semula tetapi masih tak lena selepas kira-kira 20 minit, jangan terus memaksa diri di atas katil.
Bangun sekejap dan duduk di tempat yang tenang dengan pencahayaan samar. Anda boleh membaca buku ringan atau sesuatu yang tidak terlalu merangsang minda sehingga rasa mengantuk datang semula.
Jangan baring dan melihat ke arah siling sambil paksa diri untuk tidur semula. Hal ini penting, supaya otak tidak mengaitkan katil sebagai ‘tempat stres’.
2. Jangan tengok jam atau telefon
Ini antara kesilapan paling biasa ramai orang buat.
Sebaik sahaja nampak pukul 3.15 pagi misalnya, otak mula mengira baki masa tidur sebelum kerja atau sekolah. Dari situ, rasa cemas mula muncul dan akhirnya makin susah nak tidur semula.
Jadi, cuba elakkan melihat jam atau telefon ketika terjaga.
3. Jaga jam biologi
Cubalah tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari termasuk hujung minggu.
Selain itu, kurangkan pengambilan kafein selepas pukul 2 atau 3 petang kerana ia boleh mengganggu kualiti tidur pada waktu malam.
Ramai menganggap tidur 4 hingga 5 jam sehari sudah memadai kerana badan dah “biasa”, tetapi kekurangan tidur terutama fasa Deep Sleep dan REM sleep dalam jangka panjang boleh memberi kesan terhadap fokus, emosi dan tahap tenaga harian.
Jika masalah ini berlarutan lebih sebulan sehingga menyebabkan keletihan mental pada waktu siang, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan doktor.
Kadang-kadang, badan bukan sekadar mahu anda bangun awal tetapi sedang cuba memberitahu ada sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Sumber: Threads @drkhaw_familymedicine
FT Image: Gemini AI
