Seramai 21 rakyat Malaysia terpilih menyertai Program Tetamu Raja Arab Saudi 2026 atau Khadimul Haramain bagi menunaikan ibadah haji pada tahun ini menerusi tajaan penuh kerajaan Arab Saudi.
Program berprestij yang dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi itu merupakan inisiatif khas di bawah peruntukan peribadi Raja Salman bagi menghargai individu yang banyak berjasa kepada Islam, dakwah serta masyarakat.
21 RAKYAT MALAYSIA TERPILIH PROGRAM TETAMU RAJA ARAB SAUDI 2026

Kesemua peserta akan menerima pembiayaan penuh termasuk tiket penerbangan, penginapan, makan minum serta urusan sepanjang berada di Masya’ir Haram.
Ketua Delegasi Tetamu Haji Raja Salman, Ahmad Tajuddin Idris berkata, Malaysia antara negara yang sentiasa menerima jemputan khas tersebut saban tahun.
Beliau menjelaskan, pemilihan peserta dibuat hasil kerjasama bersama Atase Agama Kedutaan Arab Saudi dengan mengambil kira sumbangan individu terhadap pembangunan Islam, dakwah dan khidmat kepada negara.
Menurutnya, rombongan delegasi dijadual berlepas ke Jeddah sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji.
“Alhamdulillah pada malam ini kita akan berangkat ke Jeddah dan terus masuk Mekah, lepas habis tunaikan haji kita ke Madinah sekejap sebelum pulang tanah air. Kami akan berada di sana lebih kurang 14 hari bermula 19 Mei hingga 2 Jun.
“Jumlah peserta tahun ini seramai 21 orang, hampir sama seperti tahun lalu namun, kami berharap jumlah itu dapat ditambah pada masa akan datang, Insya-ALLAH. Kalau tidak silap, beberapa tahun lalu Malaysia pernah menerima tajaan sehingga 60 peserta.

“Jadi, kita doakan agar kemurahan hati Raja Salman membolehkan lebih ramai individu yang berjasa kepada Islam, dakwah dan negara diberi peluang menunaikan haji melalui program ini,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta delegasi yang juga Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Mohd Shafry Mohd Rahim, turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas jemputan tersebut.
Beliau menyifatkan peluang menunaikan ibadah haji melalui program berkenaan sebagai satu penghormatan besar selain mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi.
Menurutnya, hubungan akademik antara kedua-dua negara juga semakin berkembang apabila ramai pelajar Arab Saudi memilih menyambung pengajian di UTM.
“Kita mempunyai ramai mahasiswa dari Arab Saudi yang melanjutkan pengajian di UTM dan mereka disantuni dengan baik. Saya berharap hubungan ini akan terus memperkukuh kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Baca juga: “Saya Tak Kuat, Tapi Kena Bertahan”- Ibu Tunggal Ambil Upah Lipat Baju, Besarkan Anak Hidrosefalus
Sumber: Sinar Harian
