Lepasan tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) b0leh membuat permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang akan dibuka secara rasmi mulai 30 Jun ini.
Baca juga: Lepasan Tahfiz & UEC Kini Berpeluang Sambung Pengajian Di IPTA, KPT Buka Laluan Lebih Inklusif
LEPASAN TAHFIZ DAN UEC BOLEH MOHON IPTA BERMULA 30 JUN

Foto: Gemini AI
Inisiatif yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu dilihat sebagai satu langkah besar dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada aliran di luar sistem pendidikan kebangsaan.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman, permohonan akan dibuka terlebih dahulu di peringkat universiti masing-masing sebelum diselaraskan menerusi sistem UPUOnline bermula tahun hadapan.
Beliau memaklumkan bahawa persediaan bagi pelaksanaan laluan khas tersebut sebenarnya sudah berjalan sejak penghujung tahun lalu lagi.
Permohonan Dibuka Terus Kepada Universiti
Bermula 30 Jun ini, calon boleh membuat permohonan secara terus kepada universiti yang menawarkan program berkaitan.
Walau bagaimanapun, semua calon masih perlu memenuhi syarat asas kemasukan termasuk memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu serta lulus mata pelajaran Sejarah.
Selain itu, proses pemilihan juga tetap dibuat berdasarkan merit, syarat akademik dan penilaian pihak Senat Universiti.
Semua Calon Perlu Hadiri Temu Duga

Foto: Gemini AI
Menurut beliau lagi, setiap calon yang memohon akan melalui proses temu duga seperti calon arus perdana lain, terutama bagi program-program kompetitif.
Ini kerana jumlah tempat yang ditawarkan adalah terhad dan bergantung kepada pengambilan setiap universiti.
Sebagai contoh, jika sesebuah program hanya menawarkan 50 tempat, maka calon perlu bersaing secara sihat berdasarkan pencapaian akademik, syarat khas program serta prestasi semasa temu duga.
Pendekatan ini dilihat penting bagi memastikan peluang diberikan secara adil kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang pendidikan.
Antara IPTA & Program Yang Ditawarkan Bagi Lepasan Tahfiz Dan UEC
Setakat ini, terdapat beberapa universiti awam yang sudah dikenal pasti menawarkan laluan khas berkenaan.
Antaranya ialah,
- Universiti Putra Malaysia
- Universiti Malaya
- Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Bagi aliran tahfiz pula, antara universiti terlibat ialah,
- Universiti Teknologi MARA
- Universiti Sultan Zainal Abidin.
Dalam masa sama, pelbagai program pengajian turut dikenal pasti mengikut kesesuaian aliran masing-masing.
Antara program untuk lepasan tahfiz ialah,
- Diploma dan Sarjana Muda Dakwah
- Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah
- Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz
- Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah)
Manakala program untuk lepasan SMPC/UEC,
- Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian
- Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina
- Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina
- Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan
Turut Nikmati Subsidi Kerajaan
Dalam sidang media sama, beliau turut menjelaskan bahawa pelajar yang diterima masuk melalui laluan ini masih dianggap sebagai pelajar saluran perdana.
Ini bermaksud mereka juga layak menikmati subsidi pendidikan kerajaan seperti pelajar IPTA lain.
Pengumuman ini dilihat sebagai perkembangan positif dalam usaha membuka lebih banyak ruang pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai aliran, sekali gus memberi peluang lebih luas untuk mereka menyambung pengajian di peringkat universiti awam.
Baca juga: Koleksi Idea Ucapan Selamat Hari Guru Yang Tak ‘Cringe’, Tapi Menyentuh Hati…Tersenyum Cikgu!
Sumber: Harian Metro
FT Images: Gemini AI
