Dalam pengurusan jenazah, terdapat beberapa amalan yang mungkin kelihatan kecil tetapi sebenarnya mempunyai adab dan hikmah tersendiri antaranya adalah amalan mengikat dagu mayat selepas kematian berlaku. Menurut perkongsian pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di laman Facebooknya ada menjelaskan hukum tindakan ikat dagu mayat dengan lebih mendalam.
Baca juga: Trend Wanita Pakai Jam Tangan Emas 916 Untuk Nampak Cantik & Eksklusif, Tak Berdosa Ke?
APA HUKUM IKAT DAGU MAYAT DALAM ISLAM

Menurutnya, hukum mengikat dagu mayat adalah sunat dan dilakukan setelah diyakini seseorang itu telah meninggal dunia Lebih elok sekiranya ikatan tersebut menggunakan kain yang lebar bagi mengelakkan tekanan pada leher si mati.
Tujuan utama ikatan di bawah dagu ini adalah untuk menutup mulut si mati supaya tidak terbuka. Ini kerana keadaan mulut yang terbuka selepas kematian dianggap tidak elok untuk dipandang oleh orang yang masih hidup.
Perkara ini turut disebut oleh Imam Al-Ghazali rahimahullah:
“Kemudian apabila telah meninggal dunia hendaklah ditutup kedua matanya dan diikat dagunya dengan cebisan kain supaya tidak buruk rupanya.” (Kitab Al-Wasith)
Amalan ini juga menunjukkan adab dan penjagaan maruah si mati, walaupun selepas roh telah berpisah dari jasad.
Menurut Imam Syafie rahimahullah, orang yang paling utama melakukan proses menutup mata dan mengikat dagu mayat ialah ahli keluarga yang paling penyayang terhadap si mati.

Ini kerana ia bukan sekadar urusan teknikal, tetapi juga satu bentuk penghormatan terakhir yang penuh kelembutan dan kasih sayang.
Imam Syafie berkata: “Yang paling awal dilakukan oleh keluarga si mati ialah menyerahkan kepada orang yang paling kasih sayang dalam kalangan mereka untuk menutup kedua matanya dan mengikat dagunya dengan kain yang lebar…” (Mukhtasar Al-Muzani)
Secara ringkasnya, mengikat dagu mayat adalah amalan sunat yang bertujuan menutup mulut si mati agar kekal dalam keadaan yang baik untuk dipandang.
Disunatkan juga menggunakan kain yang lebar, kira-kira tiga jari, serta dilakukan dengan penuh berhati-hati dan adab. Walaupun nampak kecil, amalan ini menggambarkan betapa Islam menitikberatkan penghormatan terhadap jenazah walaupun selepas kematian.
Baca juga: Elak Duduk Di Antara Bawah Teduh & Matahari! Sebenarnya Itu Tempat ‘Favourite’ Syaitan
Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus
