Ramai sebenarnya masih keliru bagaimana kategori B40, M40 dan T20 ditentukan, sedangkan pengelasan ini dibuat berdasarkan pendapatan isi rumah dan bukannya gaji individu semata-mata.
Menerusi jadual dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2022, had pendapatan untuk setiap kategori menunjukkan jurang yang agak besar antara negeri.
Baca juga: Kadar Bayaran Denda Untuk Pasport Rosak/Hilang, Rupanya Boleh Cecah Sampai RM1,200!
PENDAPATAN ISI RUMAH B40,M40 & T20 IKUT NEGERI

Kredit: DOSM
Secara keseluruhan di Malaysia, isi rumah berpendapatan bawah RM5,250 dikategorikan sebagai B40. Manakala pendapatan antara RM5,250 hingga RM11,819 berada dalam kumpulan M40, sementara RM11,820 ke atas pula diklasifikasikan sebagai T20.
Namun jika dilihat mengikut negeri, had tersebut berubah dengan ketara.
Bagi negeri Selangor, isi rumah hanya dianggap T20 jika mempunyai pendapatan RM15,730 dan ke atas.
Di Kuala Lumpur pula, had T20 lebih tinggi iaitu RM16,780, manakala Putrajaya mencatat angka tertinggi di Malaysia dengan pendapatan RM18,320 ke atas untuk berada dalam kategori T20.
Situasi ini berlaku kerana kos sara hidup di kawasan bandar besar jauh lebih tinggi berbanding negeri lain termasuk harga rumah, pengangkutan, pendidikan dan perbelanjaan harian.
Kelantan merekodkan antara had pendapatan paling rendah apabila isi rumah dengan pendapatan bawah RM3,060 dikategorikan sebagai B40.
Bagi kategori T20 di Kelantan pula, pendapatan isi rumah hanya perlu mencecah RM6,470 dan ke atas.
Selain itu, Kedah dan Perak turut mencatat had T20 lebih rendah berbanding negeri maju lain iaitu masing-masing RM7,430 dan RM7,920.
Bukan sekadar mengira gaji

Magnific
Ramai juga tersalah faham apabila menganggap kategori ini berdasarkan gaji individu semata-mata. Sebenarnya, pengelasan B40, M40 dan T20 dibuat berdasarkan jumlah pendapatan kasar isi rumah bulanan.
Ini bermaksud pendapatan suami, isteri atau ahli keluarga yang tinggal serumah boleh diambil kira dalam penilaian tersebut. Oleh sebab itu ada individu bergaji sederhana tetapi masih tergolong dalam T20 jika jumlah pendapatan isi rumah mereka tinggi.
Dalam masa sama, ramai netizen mula mempersoalkan sama ada sistem pengelasan ini masih relevan dengan keadaan ekonomi semasa.
Ini kerana ada keluarga yang dikategorikan M40 atau T20 di atas kertas, namun hakikatnya masih berdepan tekanan kewangan akibat komitmen bulanan yang tinggi serta peningkatan kos hidup.
Apa pun, jadual ini sedikit sebanyak membantu rakyat memahami bagaimana kategori pendapatan isi rumah di Malaysia ditentukan mengikut negeri masing-masing.
Baca juga: Cuti Wesak 2026 Hari Ahad & Keputeraan Agong Pula Hari Isnin, Hari Selasa Ada Cuti Ganti Atau Tidak?
Sumber: DOSM
