MV Hondius menjadi perhatian ramai selepas kapal persiaran itu dilaporkan dikaitkan dengan penularan wabak hantavirus yang menyebabkan beberapa penumpang dan kru mengalami masalah kesihatan serius.
Menurut laporan, beberapa kes disahkan dan disyaki berkaitan jangkitan tersebut telah direkodkan, malah tragedi itu turut mengorbankan tiga individu termasuk pasangan warga Belanda serta seorang warga Jerman.
WABAK HANTAVIRUS & KAPAL CRUISE MEWAH DILARANG BERLABUH

Pasangan terbabit dipercayai sebelum ini melakukan perjalanan di beberapa kawasan di Amerika Selatan termasuk Argentina sebelum menaiki kapal berkenaan.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai hantavirus, sejenis virus bawaan tikus yang boleh membawa komplikasi serius kepada manusia.
Hantavirus merupakan kumpulan virus yang secara semula jadi hidup dalam sesetengah spesies tikus dan haiwan pengerat lain. Virus ini banyak ditemui di beberapa kawasan seperti Asia, Eropah dan benua Amerika.
Walaupun haiwan pembawa tidak menunjukkan tanda sakit, manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada air kencing, najis atau air liur tikus yang membawa virus berkenaan.
Dalam kebanyakan kes, jangkitan berlaku apabila seseorang menyedut udara yang tercemar dengan partikel halus daripada najis atau air kencing tikus yang telah kering.
Cara virus merebak
Hantavirus lazimnya dikaitkan dengan pendedahan kepada tikus yang dijangkiti.
Antara cara jangkitan boleh berlaku termasuk:
- Menyentuh najis atau air kencing tikus
- Menyedut habuk tercemar dengan virus
- Mengambil makanan yang telah tercemar
- Gigitan haiwan pengerat yang dijangkiti (jarang berlaku)
Namun, penularan yang dikaitkan dengan kapal persiaran MV Hondius menarik perhatian ramai kerana corak penyebarannya dilihat berbeza berbanding kebiasaan.
Walaupun penularan daripada manusia kepada manusia jarang berlaku, beberapa kes terpencil pernah direkodkan dalam wabak tertentu sebelum ini.

Gejala awal hantavirus sering menyerupai penyakit biasa, menyebabkan ramai tidak menyedari mereka dijangkiti.
Simptom kebiasaannya muncul dalam tempoh satu hingga lapan minggu selepas terdedah kepada virus. Antara tanda-tanda awal termasuk:
- Demam
- Sakit kepala
- Sakit otot
- Sakit perut
- Loya
- Muntah
Bagi kes yang lebih serius, pesakit boleh mengalami masalah pernafasan dan kerosakan organ yang memerlukan rawatan kecemasan segera.
Sehingga kini, masih belum terdapat vaksin hantavirus yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Walaupun beberapa vaksin bagi virus tertentu seperti Hantan dan Seoul pernah digunakan di China dan Korea Selatan untuk merawat demam berdarah berkaitan hantavirus, keberkesanannya masih dalam penilaian.
Selain itu, tiada vaksin antarabangsa yang benar-benar diluluskan untuk melindungi semua jenis penyakit berkaitan hantavirus termasuk sindrom pulmonari hantavirus (HPS), iaitu bentuk jangkitan yang boleh menyebabkan masalah paru-paru serius.
Jika mengalami simptom seperti demam, sakit otot atau sesak nafas selepas terdedah kepada kawasan yang mempunyai tikus, segera dapatkan pemeriksaan perubatan untuk rawatan lanjut.
Baca juga: Jangan Sapu Atau Vakum ‘Taik’ Tikus, Cara Salah Ini Boleh Jadi Punca Jangkitan Penyakit Berbahaya
