Euforia Bola 2026
Famili

Ramai Risau Nasib Gajah Malaysia Di Jepun, Zoo Tennoji Akhirnya Kongsi Keadaan Terkini Dara, Kelat & Amoi

gajah malaysia

Zoo Tennoji di Osaka, Jepun tampil berkongsi perkembangan terkini tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Kelat dan Amoi  yang kini berada di bawah jagaan mereka, sekali gus menjawab kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keadaan haiwan berkenaan.

Baca juga: Budak 2 Tahun Terkena Renjatan Elektrik, Melecur Di Jari Lepas Pegang Pengering Rambut Rosak!

ISU GAJAH MALAYSIA DI JEPUN, ZOO KONGSI KEADAAN TERKINI

Perkongsian tersebut dibuat menerusi laman rasmi zoo berkenaan dalam bahasa Jepun pada Ahad lalu, ketika isu pemindahan gajah dari Zoo Taiping & Night Safari ke Jepun masih hangat diperkatakan.

Ketiga-tiga gajah yang dikenali sebagai DAK itu telah mula dipamerkan kepada umum sejak 21 April lalu selepas melalui tempoh penyesuaian di persekitaran baharu.

Menurut pihak zoo, mereka kini ditempatkan dalam ruang khas hasil kerjasama dan perbincangan bersama kakitangan berpengalaman dari Malaysia bagi memastikan kebajikan haiwan tersebut terus terpelihara.

gajah malaysia

Foto: Sinar Harian

Kelat, gajah jantan berusia 20 tahun, digambarkan sebagai haiwan yang mempunyai sifat tegas namun pada masa sama menunjukkan sisi manja seperti kanak-kanak.

Walaupun secara semula jadi gajah jantan seusianya cenderung hidup bersendirian, pihak zoo menyediakan kemudahan khas bagi membolehkannya tinggal secara berasingan jika diperlukan.

Namun begitu, Kelat dilihat selesa berada bersama Dara dan Amoi dalam tempoh sebulan kebelakangan ini.

gajah malaysia

Foto: Sinar Harian

Dara, berusia 14 tahun, pula digambarkan sebagai gajah yang berhati-hati dan bertanggungjawab.

Tingkah lakunya yang sering memerhati keadaan sekeliling menunjukkan sifat matang, selain bertindak seperti ‘kakak’ yang melindungi Amoi.

Menurut pihak zoo, kehadiran Dara memberi ketenangan dalam kumpulan, terutamanya dalam fasa penyesuaian di habitat baharu.

gajah malaysia

Foto: Sinar Harian

Amoi, gajah paling muda berusia sembilan tahun, menonjol dengan sifat aktif dan suka meneroka.

Ia gemar bermain pasir, mandi lumpur serta ‘menghias’ dirinya dengan rumput kering.

Selain itu, Amoi juga dilihat bijak mengambil peluang mendapatkan makanan lebih awal sebelum diambil oleh dua gajah lain.

Detik Menyentuh Hati Pada Malam Pertama

Satu momen yang mencuri perhatian ialah apabila ketiga-tiga gajah tersebut dilaporkan tidur berdekatan antara satu sama lain pada malam pertama mereka ditempatkan bersama.

Menurut pihak zoo, gajah hanya akan baring dan tidur apabila berasa benar-benar selamat dalam sesuatu persekitaran. Situasi itu dianggap sebagai petanda positif bahawa mereka mula menyesuaikan diri.

Isu Pemindahan Gajah Malaysia Masih Jadi Perhatian

Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dilaporkan menggesa agar rundingan diadakan bagi menilai kemungkinan membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut ke Malaysia.

Bagaimanapun, kementerian menjelaskan bahawa perjanjian pemindahan dibuat secara langsung antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji melalui kaedah perniagaan dengan perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.

Zoo Tennoji Akui Masih Dalam Proses Pembelajaran

Dalam masa sama, pihak zoo mengakui mereka masih dalam proses mempelajari teknik penjagaan gajah daripada kakitangan Malaysia yang berpengalaman luas.

Malah, mereka turut menyatakan kekaguman terhadap kepakaran penjaga gajah dari Malaysia dan berjanji akan terus memperbaiki aspek penjagaan dari semasa ke semasa.

Zoo Tennoji berharap orang ramai akan terus memberi sokongan terhadap kehidupan baharu tiga gajah tersebut di Jepun.

Walaupun masih terdapat perdebatan dalam kalangan masyarakat, perkembangan terkini yang dikongsikan sekurang-kurangnya memberi gambaran bahawa Dara, Kelat dan Amoi kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menyesuaikan diri dengan habitat baharu mereka.

TERKINI: Dara, Kelat dan Amoi akan terus ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun selama 25 tahun selari dengan perjanjian yang telah dimeterai pada tahun 2022.

Baca juga: Nak Beli Emas Tanpa Was-Was? Ini Senarai Terkini Syarikat Emas Patuh Syariah 2026 Untuk Elak Riba

Sumber: Sinar Harian 

FT Images: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×