Seorang guru tadika didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencederakan muridnya dengan mencubit hingga meninggalkan kesan lebam dalam kejadian yang berlaku bulan lalu.
“Saya mohon maaf kerana gagal mengawal emosi dalam mendidik kanak-kanak,” demikian permohonan maaf tertuduh, Nurul Amira Natasya Mohd Nazri.
GURU TADIKA DIDENDA CUBIT MURID HINGGA LEBAM

Gambar Alias Abd Rani: Guru tadika, Nurul Amira Natasya didenda RM1,200 selepas mengaku cubit lengan kanak-kanak.
Guru tadika yang berusia 25 tahun itu, membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng atas kesalahan mencederakan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di bawah jagaannya.
Permohonan maaf tersebut disampaikan melalui peguamnya ketika rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,200, dengan alternatif penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun, tertuduh dilaporkan telah melunaskan bayaran berkenaan.
Baca juga: Anak Dapat Duit Raya Cecah Ribuan Ringgit? Ini 6 Cara Bijak Urus Simpanan Elak ‘Lesap’ Begitu Saja!
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi pada 14 April lalu di sebuah tadika di Taman Sentang Jaya.
Pada sebelah petang, ibu mangsa mengambil anaknya dan membawanya pulang ke rumah sebelum menyedari terdapat kesan lebam pada lengan kanan kanak-kanak tersebut.
Selepas disoal, mangsa memaklumkan bahawa dia telah dicubit oleh gurunya.
Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Parit Sulong.

Gambar hiasan: Gemini AI
Siasatan polis sahkan mangsa dicubit dua kali
Susulan laporan yang dibuat, pihak polis telah menahan tertuduh di tadika berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati mangsa dicubit sebanyak dua kali pada bahagian lengan kanan.
Mangsa turut dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, dan laporan perubatan mengesahkan kecederaan lebam pada bahagian tersebut.
Kes ini didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.
Baca juga: Rupanya Bukan 2… Ini Bilangan Botol Susu Bayi Yang Disyorkan Pakar WAJIB Ada Di Rumah
Sumber: Harian Metro
FT Image: Alias Abd Rani / Gemini AI
