Darah beku yang terbentuk dalam saluran jantung mungkin kelihatan kecil, namun kesannya mampu membawa kepada serangan jantung yang serius dan mengancam nyawa. Situasi inilah yang berlaku dalam satu kes dikongsikan oleh doktor di media sosial, apabila hampir meragut nyawa seorang pesakit.
Pesakit berusia lingkungan 60-an yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi dikejarkan ke jabatan kecemasan selepas mengalami sakit dada. Difahamkan, keadaan itu bukan berlaku ketika bersenam atau melakukan aktiviti berat, sebaliknya selepas berdepan situasi yang tertekan.
Baca juga: Termometer Merkuri Pecah TAK BOLEH Sapu Atau Vakum, Risiko Racun Kanser Boleh Tersebar!
DARAH BEKU PUNCA SERANGAN JANTUNG

Selain sakit dada, pesakit turut mengalami peluh sejuk, rasa hendak pitam serta loya. Menurutnya, itu merupakan pengalaman paling teruk pernah dirasai.
Pemeriksaan awal melalui ECG di jabatan kecemasan segera memberi gambaran jelas apabila keputusan menunjukkan ST elevation myocardial infarction (STEMI), iaitu serangan jantung yang serius dan memerlukan rawatan segera.
Pesakit kemudian terus dibawa ke makmal angiogram. Hasil pemeriksaan mendapati saluran utama jantung, iaitu Left Anterior Descending (LAD), tersumbat sepenuhnya akibat darah beku, sekali gus menghentikan aliran darah ke jantung.
Dalam prosedur kecemasan tersebut, alat khas dikenali sebagai Thrombuster digunakan untuk menyedut keluar darah beku melalui teknik thrombus aspiration. Apa yang mengejutkan, bekuan darah yang dikeluarkan itu kecil sahaja saiznya, menyerupai ‘anak cacing’.
Namun, bekuan kecil itulah yang telah menyumbat sepenuhnya saluran utama jantung. Prosedur diteruskan dengan angioplasti serta penggunaan belon bersalut ubat bagi membuka semula saluran darah. Selepas rawatan, aliran darah kembali lancar dan keadaan pesakit semakin stabil sebelum dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.

Kes ini membuktikan bahawa serangan jantung bukan hanya berlaku ketika melakukan aktiviti fizikal, malah tekanan emosi juga boleh menjadi pencetus utama. Keadaan stres boleh menyebabkan badan melepaskan hormon seperti adrenalin secara mendadak, sekali gus meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
Dalam masa yang sama, tekanan ini boleh menyebabkan plak kolesterol dalam saluran darah menjadi tidak stabil dan pecah. Apabila itu berlaku, tubuh akan membentuk darah beku dengan cepat, dan bekuan inilah yang berpotensi menyumbat saluran darah sepenuhnya.
Perkongsian ini menjadi peringatan bahawa walaupun sesuatu itu kelihatan kecil, kesannya boleh menjadi sangat besar jika melibatkan kesihatan jantung.
Sumber: Facebook Dr Muhammad Imran
