Pemergian isteri dan anak dalam nahas tragis di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing pada petang Jumaat nyata menjadi detik paling memilukan buat seorang suami, apabila dia sendiri akhirnya menyusul pergi hanya beberapa jam selepas pengebumian insan tersayang.
Mangsa, Kamilin Alias, 56, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.35 malam di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, hanya beberapa jam selepas selesai urusan pengebumian isteri serta anaknya yang turut terkorban dalam insiden tersebut.
Baca juga: Hari Ke-14 Cukur Rambut Bayi, Ibu Ini Kongsi Cara Kira & Nilai Sedekah Untuk Orang Memerlukan
SUAMI ‘MENYUSUL’ PEMERGIAN ISTERI & ANAK

Sebelum ini, Kamilin dilaporkan berada dalam keadaan koma akibat kecederaan serius selepas kenderaan dipandunya, sebuah Proton Persona, terlibat dalam perlanggaran dengan Perodua Bezza ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis perkahwinan di Mersing.
Dalam nahas berkenaan, isterinya, Rubeta Mohd, 51, serta anak bongsu mereka, Nur Isyirah Syakirah, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Anak ketiga mangsa, Mohd Aiman, 20, berkata jenazah bapanya disolatkan di Masjid Taman Seri Saujana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dagang, Kampung Makam, bersebelahan pusara isteri dan anaknya.

Suasana hiba menyelubungi masjid apabila solat jenazah tersebut diimamkan sendiri oleh anak kedua Allahyarham, Mohd Izat, 22. Kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir di masjid serta di tanah perkuburan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 5.15 petang melibatkan kereta Proton Persona dinaiki sebuah keluarga dan sebuah Perodua Bezza.
Menurutnya akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penumpang Proton Persona telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandunya mengalami kecederaan parah.
Baca juga: Wanita Ini Ajar Cara Jimat RM20 Dengan Ayam Seekor, Lebih Berbaloi Dari Beli Makanan Lain!
Sumber: Berita Harian
