Pengiraan merit matrikulasi sebenarnya memainkan peranan besar dalam menentukan siapa yang layak menerima tawaran, namun masih ramai yang kurang jelas tentang cara ia dinilai. Inilah yang menyebabkan timbul persoalan apabila pelajar dengan keputusan 4A 4B boleh terpilih, sedangkan pelajar 8A tidak berjaya mendapat tempat.
Situasi ini sebenarnya bukan sesuatu yang pelik, sebaliknya berpunca daripada cara pengiraan merit matrikulasi yang berbeza daripada sistem permohonan UPU.
Baca juga: Semakan Keputusan Matrikulasi KPM Sesi 2026/2027 Bermula Jam 2 Petang INI
PENGIRAAN MERIT MATRIKULASI, YANG DAPAT 4A BOLEH ‘LEPAS’

Ramai yang menyangka keputusan keseluruhan A dalam SPM sudah mencukupi untuk menjamin tempat ke matrikulasi. Hakikatnya, sistem merit bagi Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil kira dua komponen utama, iaitu 90% markah akademik dah 10% markah kokurikulum.
Namun begitu, markah akademik tersebut bukan dinilai secara keseluruhan semua subjek, sebaliknya bergantung kepada subjek teras mengikut jurusan yang dipohon.
Bagi jurusan sains sebagai contoh, hanya beberapa subjek utama yang akan diambil kira dalam pengiraan merit seperti:
- Matematik
- Sains / Fizik / Kimia / Biologi
- Subjek lain yang berkaitan
Ini bermaksud, pelajar yang mendapat A dalam subjek kritikal ini akan memperoleh markah merit yang lebih tinggi berbanding pelajar yang mendapat A dalam subjek lain tetapi kurang cemerlang dalam subjek teras.

Di sinilah timbul situasi di mana pelajar dengan keputusan 4A 4B boleh mengatasi pelajar 8A. Sebagai contoh, jika pelajar 4A 4B memperoleh A dalam semua subjek penting untuk jurusan yang dipohon, manakala pelajar 8A pula tidak mendapat A dalam subjek kritikal tersebut, maka jumlah merit pelajar 4A 4B boleh menjadi lebih tinggi.
Tambahan pula, markah kokurikulum juga memainkan peranan walaupun hanya 10%. Pelajar yang aktif dan mempunyai pencapaian dalam aktiviti kokurikulum berpotensi menambah kelebihan dalam persaingan.
Kesimpulannya, bilangan A bukan satu-satunya penentu dalam pemilihan ke program matrikulasi. Apa yang lebih penting adalah kombinasi prestasi dalam subjek teras mengikut jurusan serta penglibatan dalam kokurikulum.
Justeru, pelajar disarankan untuk memahami sistem merit ini dengan lebih jelas supaya dapat membuat perancangan yang lebih tepat, terutama bagi yang mensasarkan laluan matrikulasi selepas SPM.
Baca juga: Pelajar Skor 9A SPM Kongsi Senarai YouTube Channel Untuk Ulang Kaji, Ramai Setuju Memang ‘Power’!
Sumber: Facebook Info Program Pengajian
