Semakan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi 2026/2027 boleh dilakukan oleh para calon bermula hari ini.
Pengumuman ini pastinya dinantikan oleh ribuan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memohon untuk melanjutkan pengajian melalui laluan matrikulasi.
Baca juga: Pelajar Skor 9A SPM Kongsi Senarai YouTube Channel Untuk Ulang Kaji, Ramai Setuju Memang ‘Power’!
SEMAKAN PROGRAM MATRIKULASI SESI 2026/2027 JAM 2 PETANG INI

Semakan keputusan rasmi dibuka bermula 27 April 2026, tepat jam 2.00 petang. Calon yang berjaya akan ditawarkan tempat mengikuti Program Matrikulasi KPM bagi sesi pengajian akan datang.
Bagi mereka yang tidak berjaya, peluang masih terbuka melalui proses rayuan yang turut disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian bermula 27 April sehingga 6 Jun 2026. Tempoh ini memberi ruang kepada calon untuk mengemukakan semula permohonan dengan harapan dipertimbangkan sekiranya terdapat kekosongan tempat selepas pusingan pertama pengambilan.
Untuk memudahkan urusan, calon boleh membuat semakan keputusan dan permohonan rayuan melalui laman rasmi matrikulasi KPM di pautan ini. (Klik sini)

Selain itu, bagi calon atau ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, kaunter pertanyaan turut dibuka bermula 27 April hingga 8 Mei 2026. Perkhidmatan ini beroperasi pada hari bekerja sahaja, dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Kaunter tersebut terletak di Aras 8 dan 9, Lobi Blok E15, Kompleks E, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kehadiran ke kaunter ini boleh membantu mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan keputusan, tawaran serta proses rayuan yang sedang berlangsung.
Program Matrikulasi merupakan antara laluan utama bagi pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sebelum melangkah ke universiti awam.
Justeru, calon disarankan untuk membuat semakan segera serta mengambil tindakan yang diperlukan dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Baca juga: Tak Puas Hati ‘Result’ SPM 2025? Ini Cara Buat Semakan Semula Dalam Tempoh 30 Hari Secara Online!
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia
