Sikap segelintir individu yang gemar mengkritik atau memperlekeh hidangan makanan menjadi perhatian Ustaz Elyas Ismail dan tampil memberikan teguran terbuka mengenai adab sebagai tetamu dalam Islam.
Menurut beliau, setiap hidangan yang disediakan oleh tuan rumah seharusnya diterima dengan hati yang terbuka, penuh kesyukuran dan rasa penghargaan. Hal ini kerana setiap individu mempunyai kemampuan yang berbeza dalam menyediakan juadah.
JANGAN KUTUK HIDANGAN MAKANAN TUAN RUMAH – USTAZ

Ada tuan rumah yang mampu menghidangkan makanan yang mewah dan pelbagai, malah ada juga yang menyediakan hidangan ringkas mengikut kemampuan masing-masing. Namun, apa jua yang dihidangkan, ia tetap datang daripada usaha dan keikhlasan tuan rumah yang ingin memuliakan tetamu.
Justeru itu, beliau mengingatkan agar tetamu tidak mempersoalkan atau membandingkan hidangan yang disediakan. Sama ada juadah tersebut sederhana seperti sup, lauk kampung atau hidangan biasa, semuanya wajar diterima dengan baik tanpa sebarang rungutan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa umat Islam seharusnya mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW dalam hal ini. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan yang dihidangkan kepada Baginda.
Sekiranya Baginda menyukai sesuatu makanan, Baginda akan memakannya. Namun jika tidak berkenan, Baginda hanya meninggalkannya tanpa mengeluarkan kata-kata negatif atau memperlekehkan hidangan tersebut.

Teguran ini turut menyentuh sikap segelintir tetamu yang terlalu cerewet sehingga memperbesarkan perkara kecil seperti keadaan makanan atau cara penyediaannya. Menurutnya, perkara sebegini tidak sepatutnya menjadi beban kepada tuan rumah yang telah berusaha menyediakan yang terbaik.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa memberi makan kepada orang lain merupakan satu amalan yang besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Manakala kehadiran tetamu pula membawa rahmat dan keberkatan kepada tuan rumah.
Namun begitu, segala kebaikan tersebut boleh terjejas sekiranya tetamu tidak menjaga adab, khususnya dengan mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati atau mengkritik hidangan yang disediakan.
Beliau menegaskan bahawa setiap kata-kata yang dilontarkan perlu dijaga, kerana dikhuatiri boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Justeru, sebagai tetamu, sikap menghargai, bersyukur dan beradab harus sentiasa diutamakan dalam setiap situasi.
Baca juga: Ramai Tertanya, Betul Ke Tak Boleh Bercakap Dengan Ahli Kubur Ketika Ziarah? Ini Penjelasan Mufti
Sumber: Facebook Ustaz Elyas Ismail
