Tragedi menyayat hati menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, Thanavitha, yang sebelum ini dibesarkan oleh keluarga angkat sejak bayi. Kehidupannya berakhir dalam keadaan tragis selepas dipercayai menjadi mangsa penganiayaan oleh ibu kandung bersama tiga individu lain.
Pada 26 Mac, mangsa dikejarkan ke Hospital Taiping sekitar jam 12.43 tengah hari dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama kira-kira 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.12 petang.
Baca juga: Senarai Negara Paling Selamat Untuk Travel 2026 – Pilih Destinasi Betul, Baru Tenang Sepanjang Trip!
IBU KANDUNG TINGGALKAN THANAVITHA SEJAK USIA 6 BULAN

Menurut maklumat yang didedahkan dalam satu sidang media, keluarga angkat yang selama ini menjaga Thanavitha tampil bersama peguam bagi menjelaskan kronologi serta latar belakang situasi yang berlaku.
Pendedahan tersebut memberi gambaran lebih jelas tentang perjalanan hidup kanak-kanak malang itu sejak kecil, termasuk konflik keluarga yang dipercayai menjadi antara punca kepada tragedi yang berlaku.
Difahamkan, sekitar tahun 2020, ibu kandung Thanavitha telah meninggalkan kediaman selepas berlaku pertelingkahan dengan bekas suami. Dalam keadaan tersebut, dia bertindak membawa anaknya yang ketika itu masih bayi, berusia kira-kira enam bulan, tanpa persetujuan pihak lain. Sejak itu, urusan penjagaan dan kebajikan kanak-kanak berkenaan menjadi tidak menentu.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila ibu kandung dilaporkan sekali lagi menghilangkan diri ketika Thanavitha berusia sekitar tiga tahun.
Lebih membimbangkan, wanita tersebut didakwa membawa bersama sejumlah barang kemas serta wang tunai, selain gagal meninggalkan sebarang dokumen penting milik anaknya seperti sijil kelahiran.
Ketiadaan dokumen rasmi ini kemudiannya memberi kesan besar terhadap kehidupan Thanavitha, khususnya dalam aspek pendidikan apabila dia tidak dapat didaftarkan ke sekolah seperti kanak-kanak lain.
Dalam perkembangan berkaitan, individu lelaki yang kini dikaitkan dengan kes kematian mangsa difahamkan merupakan suami ketiga kepada ibu kandungnya.

Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai persekitaran dan tahap keselamatan yang dilalui mangsa sepanjang berada di bawah jagaan keluarga tersebut.
Keluarga angkat yang pernah mengunjungi kediaman berkenaan sebelum ini turut mendakwa mereka sempat melihat beberapa kesan kecederaan pada tubuh Thanavitha.
Namun begitu, setiap persoalan yang diajukan ketika itu dijawab dengan penjelasan bahawa kesan berkenaan berpunca daripada jangkitan penyakit cacar air.
Tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, pihak keluarga angkat cuba mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, mereka mendakwa usaha tersebut tidak mendapat perhatian sewajarnya pada waktu itu, sekali gus menimbulkan rasa terkilan kerana kemungkinan tindakan awal gagal diambil untuk melindungi mangsa.
Sumber: Tamil Nesan TV Malaysia
