Setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam mengurus dan kemas rumah. Menariknya, ada perkongsian yang mengaitkan gaya mengemas seseorang dengan jenis darah yang dimiliki.
Walaupun tidak bersifat saintifik sepenuhnya, perkongsian ini sering dijadikan rujukan santai kerana ramai yang merasakan ia ‘kena’ dengan personaliti masing-masing.
GAYA KEMAS RUMAH IKUT JENIS DARAH

Freepik
Jom lihat perbezaan gaya kemas rumah mengikut jenis darah:
Jenis darah A: Teliti, teratur dan perfeksionis
Individu dengan darah jenis A sering dikaitkan dengan sifat yang sangat tersusun dan berdisiplin. Mereka biasanya mempunyai jadual tetap untuk mengemas rumah dan memastikan setiap barang berada di tempat yang sepatutnya.
Golongan ini juga gemar melabel barang, menyusun mengikut kategori atau warna serta memastikan ruang sentiasa kemas tanpa sebarang kekusutan. Bagi mereka, rumah yang bersih dan teratur memberi ketenangan.
Malah, mereka paling tidak selesa jika melihat barang bersepah atau tidak diletakkan kembali ke tempat asal.
Jenis darah B: Kreatif, fleksibel dan ikut mood
Berbeza dengan jenis A, individu darah B lebih santai dan bebas dalam pendekatan mereka terhadap kerja mengemas.
Mereka tidak terlalu terikat dengan jadual atau sistem tertentu, sebaliknya lebih cenderung mengemas apabila ada ‘mood’. Gaya susunan mereka juga lebih kreatif dan kadangkala kelihatan seperti ‘sepah’, tetapi sebenarnya mempunyai susunan tersendiri.
Golongan ini gemar menghias rumah mengikut minat dan hobi, serta kurang gemar peraturan yang terlalu ketat kerana boleh membuatkan mereka rasa terkongkong.
Jenis Darah O: Praktikal, pantas dan efisien
Individu dengan darah jenis O pula lebih menitikberatkan kecekapan. Mereka mengemas dengan fokus untuk mendapatkan hasil yang cepat dan praktikal.
Bagi mereka, yang penting adalah ruang nampak bersih dan mudah digunakan, tanpa perlu terlalu memberi perhatian kepada perkara-perkara kecil.
Mereka cenderung memilih konsep minimalis, ruang yang luas dan mudah diurus. Selain itu, mereka juga tidak gemar menghabiskan masa terlalu lama untuk membersihkan satu bahagian sahaja.

Freepik
Jenis darah AB: Tenang, unik dan ada sistem tersendiri
Jenis darah AB sering dilihat sebagai gabungan sifat antara A dan B. Mereka boleh menjadi teratur, namun dalam masa yang sama fleksibel mengikut keadaan.
Golongan ini biasanya mempunyai sistem sendiri yang mungkin sukar difahami oleh orang lain, tetapi tetap berfungsi dengan baik bagi mereka.
Mereka juga mengemas apabila perlu, namun tetap mementingkan elemen ‘jiwa’ atau sentuhan peribadi dalam susunan rumah. Satu perkara yang pasti, mereka kurang gemar apabila sistem yang telah mereka bina diganggu oleh orang lain.
Setiap individu mempunyai keunikan tersendiri yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti didikan, persekitaran dan pengalaman hidup.
Namun begitu, perkongsian ini boleh dijadikan panduan santai untuk lebih memahami diri sendiri dan orang sekeliling, mungkin juga membantu dalam mencari gaya mengemas yang paling sesuai untuk diamalkan di rumah.
Sumber: Lemon8 ieda juhri
