Euforia Bola 2026
Inspirasi

Anak Didakwa Kes Bunuh, Ibu Tiada SPM Belajar Undang-Undang Demi Keadilan, Kini Bergelar Peguam

kes bunuh

Detik seorang ibu berdepan situasi apabila anaknya didakwa dalam kes bunuh ternyata bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Namun bagi seorang wanita bernama Azlina Abdul Aziz, ujian tersebut menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya sehingga mendorong dirinya bangkit daripada seorang suri rumah kepada seorang peguam.

Kisah Azlina atau dikenali di media sosial sebagai Makcikmanis kini menjadi inspirasi ramai apabila dia berjaya membuktikan bahawa latar belakang pendidikan bukanlah penghalang untuk mencapai cita-cita, walaupun tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baca juga: [VIDEO] Remaja Disleksia Tular Jual Air Tembikai, Jadi Tumpuan Guna Konsep Unik “Bayar Seikhlas Hati”!

ANAK DIDAKWA KES BUNUH, SURI RUMAH BANGKIT BELAJAR UNDANG-UNDANG DEMI KEADILAN

kes bunuh

Gambar ihsan Azlina Abd Aziz: Azlina (dua kanan) bersama keluarganya.

Dari suri rumah bangkit menjadi peguam

Azlina, 52, mengakui dia tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang peguam kerana sejak kecil kehidupannya penuh dengan cabaran.

“Memang saya tak pernah terfikir nak jadi peguam. Saya hanya suri rumah. Saya membesar dalam keluarga susah di tanah rancangan Felda dan tidak sempat menamatkan persekolahan hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya berhenti sekolah awal sebab hidup susah dan keadaan keluarga. Cabaran hidup sejak kecil turut dipengaruhi keadaan bapa yang menghidap masalah mental,” katanya kepada Harian Metro.

Wanita ini juga pernah melalui fasa kehidupan yang sukar apabila perkahwinan pertama berakhir dengan perceraian, menyebabkan Azlina terpaksa membesarkan anak sebagai ibu tunggal selama beberapa tahun.

“Saya ingat kahwin boleh selesaikan masalah, tapi rupanya ujian lain pula. Saya menjadi ibu tunggal selama beberapa tahun sebelum bertemu jodoh dengan suami warga Australia.

“Kami menetap di Australia bermula 2003 sebelum kembali ke Malaysia pada 2010,” katanya.

Selepas kembali ke Malaysia, Azlina menjalani kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa tanpa menyangka ujian besar akan datang dalam hidupnya.

Baca juga: Baru Habis ‘Trial SPM’ Aaron Darwisy Disahkan Kanser Tulang, Cemerlang Raih 8A Walau Ambil Ujian Di Hospital

Anak didakwa kes bunuh ubah jalan hidup

Segalanya berubah pada tahun 2016 apabila anak lelakinya ditahan polis, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

“Mula-mula saya ingat kes dadah, tapi bila polis cakap kes bunuh, memang terkejut sangat.

“Anak saya mempunyai masalah pembelajaran didakwa bersama individu lain dalam kes berkenaan.

“Anak saya nampak macam biasa, tapi sebenarnya dia seorang yang lembam,” katanya.

Sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung, Azlina mula membaca pelbagai bahan berkaitan undang-undang untuk memahami proses mahkamah yang sedang dihadapi oleh anaknya.

“Saya baca kes dan cuba faham bagaimana pendakwaan buktikan sesuatu kes. Pengalaman berulang-alik ke penjara setiap minggu membuka mata mengenai kesukaran keluarga banduan lain.

“Saya tengok ramai ibu bapa tak faham prosedur, jadi saya cuba bantu setakat yang mampu,” katanya.

kes bunuh

Dorongan daripada rakan-rakan menjadi pencetus semangat untuk Azlina melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Mereka kata saya boleh bercakap macam peguam, jadi saya cuba mohon. Walaupun saya tidak mempunyai SPM, saya menggunakan pengalaman kerja untuk melayakkan diri memasuki universiti melalui laluan khas.

“Saya ingat lagi pergi ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk bertanya cara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Pegawai yang melayan saya agak hairan kerana saya tidak mempunyai SPM dan hanya seorang suri rumah. Jadi, saya hanya beranikan diri sahaja,” katanya.

Pada usia 43 tahun, Azlina memulakan pengajian undang-undang sambil terus menghadiri perbicaraan kes anaknya di mahkamah.

“Saya belajar sebab nak faham dan bantu anak sendiri,” katanya.

Baca juga: Bukan Biasa-Biasa! Pelajar Korea Selatan Skor 10A+ SPM Termasuk BM, Pemegang ‘Black Belt’ Taekwondo

Enam tahun perjuangan berakhir dengan kelegaan

Tahun 2022 menjadi detik paling bermakna dalam hidupnya apabila anaknya akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan selepas hampir enam tahun melalui proses perbicaraan.

“Alhamdulillah, anak saya dibebaskan selepas hampir enam tahun selepas didapati tidak bersalah.

“Malah anak juga sempat untuk melihat saya pada hari konvokesyen,” katanya.

Kini, Azlina bukan sahaja berjaya menjadi peguam, malah membuka firma sendiri dan memberi fokus kepada kes sivil dan jenayah berdasarkan pengalaman hidup yang pernah dilalui.

“Saya pernah jadi anak guam, jadi saya tahu macam mana perasaan itu. Saya bertekad untuk menjadi peguam yang benar-benar membantu dan tidak mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain.

“Daripada pengalaman peribadi saya, saya jadi seorang peguam yang betul-betul menghayati masalah anak guam dan akan cuba sedaya upaya untuk membantu sebab saya pernah alami semua tu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

FT Image: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×