Euforia Bola 2026
Didik

“Rezeki Luar Biasa” Dua Pelajar Cemerlang SPM Dipilih Jadi Tetamu Allah Pada Usia 18 Tahun

pelajar cemerlang

Tidak semua orang mendapat peluang menunaikan haji pada usia muda, apatah lagi sejurus selepas menerima keputusan peperiksaan besar. Namun, bagi dua pelajar cemerlang dari Pahang ini, rezeki itu hadir dalam cara yang cukup luar biasa, iaitu menjadi tetamu Allah SWT pada tahun yang sama mereka mencipta kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baca juga: 6 Persediaan Bakal Jemaah Haji Perlu Buat Untuk ‘Fit’, Pak Cik Mak Cik Dah Kena Mula Sekarang!

DUA PELAJAR CEMERLANG SPM DIPILIH MENJADI TETAMU ALLAH PADA USIA 18 TAHUN

pelajar cemerlang

Foto: Berita Harian

Dua remaja, Fatih Mohd Faizal, 18, dan Nur Musfirah Mizana Jamalmizan, antara individu terpilih untuk menunaikan haji tahun ini selepas masing-masing memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan pada 31 Mac lalu.

Fatih, bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru, mencatat keputusan 10A 1B, manakala Nur Musfirah dari SMK Beserah pula memperoleh 7A 1B.

Kedua-duanya ditemui ketika menghadiri Kursus Perdana Haji serta Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang menerusi Program Barakah Haji Pahang 2026 yang berlangsung di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Bukan Sekadar Rezeki, Tetapi Satu Amanah

Bagi Fatih, peluang menunaikan haji pada usia muda bukan sekadar rezeki biasa, tetapi satu amanah besar yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Menurutnya, pada awalnya dia sukar mempercayai dirinya tersenarai sebagai bakal jemaah haji tahun ini. Namun, dia yakin peluang tersebut adalah ketentuan Allah SWT.

Saya percaya rezeki ini bukan untuk diri saya semata-mata, tetapi satu amanah untuk saya kongsikan manfaatnya kepada orang lain pada masa akan datang,” katanya.

Fatih dijadualkan berangkat ke Tanah Suci bersama ibu saudara dan bapa saudara pada 28 April ini.

Salah Satu Impian Pelajar Cemerlang Menjadi Kenyataan

Sementara itu, Nur Musfirah meluahkan rasa syukur kerana impiannya untuk menunaikan haji pada usia muda akhirnya menjadi kenyataan.

Sebelum ini, beliau pernah menunaikan umrah ketika berusia sembilan tahun, dan pengalaman itu menjadi titik awal keinginannya untuk kembali ke Tanah Suci.

Kini, beliau giat membuat persediaan dari segi ilmu, fizikal dan mental, selain memastikan pemakaian yang sesuai serta menepati syariat sepanjang ibadah nanti.

Lebih 1,700 Jemaah Pahang Terpilih

pelajar cemerlang

Foto: Berita Harian

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan seramai 1,712 bakal jemaah haji dari negeri itu terpilih tahun ini, sebagai sebahagian daripada 31,600 jemaah Malaysia keseluruhannya.

Melalui Program Barakah Haji Pahang, setiap jemaah menerima sumbangan RM750 bagi membantu persiapan mereka ke Tanah Suci.

Menariknya, tahun ini skop bantuan diperluaskan kepada anak-anak Pahang yang berada di perantauan tetapi tetap layak menerima sumbangan sekiranya terpilih menunaikan haji.

Selain bantuan kewangan, kerajaan negeri turut menyediakan pek makanan sedia dimakan untuk kemudahan para jemaah sepanjang perjalanan.

Kisah dua pelajar ini bukan sahaja membanggakan, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan akademik dan keberkatan hidup boleh berjalan seiring.

Di sebalik usaha gigih menuntut ilmu, mereka turut dipilih untuk memenuhi panggilan Ilahi, iaitu satu peluang yang bukan semua orang dapat rasai.

Baca juga: Dapat Tawaran Haji Tapi Ibu Gusar Nak Tinggalkan Anak, Siapa Sangka Rupanya…

Sumber: Berita Harian

FT Images: Berita Harian 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×