Euforia Bola 2026
Inspirasi

Warga Emas 60 Tahun Kembali Duduki SPM, Kisah Hamidan Bukti Semangat Belajar Tak Kenal Usia!

warga emas

Ketika ramai seusianya yang merupakan warga emas memilih untuk berehat dan menikmati waktu persaraan, beliau pula mengambil langkah berbeza dengan kembali ke dewan peperiksaan.

Pada usia 60 tahun, beliau masih berani mencabar diri menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukan kerana tuntutan kerja atau paksaan mana-mana pihak, tetapi didorong oleh minat yang tidak pernah pudar terhadap ilmu.

Baca juga: Seramai 13,779 Calon Raih Semua A Dalam SPM 2025, Gred Purata Kebangsaan Catat Peningkatan!

WARGA EMAS BERUSIA 60 TAHUN KEMBALI DUDUKI SPM

warga emas

Foto: Sinar Harian

Hamidan Yahaya, 61, dari Kampung Bohor Tui, Kuala Perlis membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak pernah ada tarikh luput. Sejak tahun 2022, beliau konsisten menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian.

Menariknya, keputusan ini bukan didorong faktor kerjaya. Sebaliknya, ia lahir daripada minat mendalam terhadap pembelajaran serta keinginan untuk menguji tahap keupayaan diri sendiri.

Selepas berkhidmat selama 27 tahun sebagai pemandu di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Hamidan kini mengisi masa persaraan dengan sesuatu yang luar biasa iaitu kembali menjadi pelajar.

Baginya, usia bukan penghalang untuk terus mencabar minda. Malah, beliau menganggap proses belajar itu sendiri sebagai satu kepuasan yang sukar digambarkan.

Keputusan SPM berubah, semangat tetap sama

warga emas

Foto: Sinar Harian

Sepanjang beberapa tahun menduduki SPM, pencapaian Hamidan menunjukkan turun naik, bergantung kepada faktor kesihatan dan persediaan.

Antara pencapaiannya:

2022: A dalam Matematik
2023: B+ Sains
2024: C Matematik
2025: B Matematik, C+ Sains

Walaupun tidak konsisten dari segi gred, semangatnya langsung tidak pudar. Tanpa mengikuti kelas formal, Hamidan hanya bergantung kepada buku rujukan untuk membuat ulang kaji. Baginya, perubahan format soalan setiap tahun menjadikan pengalaman itu lebih mencabar dan menyeronokkan.

Namun, perjalanan ini bukan tanpa ujian. Beberapa hari sebelum SPM 2025, beliau terlibat dalam kemalangan kecil selepas motosikalnya terjatuh akibat melanggar lopak ketika banjir surut.

Walaupun masih dalam keadaan sakit, beliau tetap hadir menjawab peperiksaan. Satu bukti ketahanan mental yang luar biasa.

Hamidan turut berkongsi bahawa kehidupan sebagai anak yatim sejak Tingkatan Satu serta kesukaran untuk ke sekolah suatu ketika dahulu menjadi antara sebab utama beliau tidak mahu melepaskan peluang belajar sekarang.

Bagi dirinya, peluang yang ada hari ini adalah sesuatu yang perlu dihargai sepenuhnya.

Kisah ini membuktikan bahawa tiada istilah “terlambat” dalam menuntut ilmu. Semangat seperti ini wajar dijadikan inspirasi kepada semua, bahawa selagi ada usaha dan keinginan, peluang untuk belajar dan berjaya sentiasa terbuka.

Baca juga: “Tak Sempat Tengok Keputusan”- Remaja Menangis Raih 8A SPM, Mak Meninggal Dunia 3 Hari Sebelum Aidilfitri

Sumber: Sinar Harian

FT Images: Sinar Harian 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×