Euforia Bola 2026
40 Minggu

Ramai Terpedaya! Beli Lampu Biru ‘Online’ Konon DIY Rawat Jaundis, Rupanya Ini Risiko Pada Bayi Kuning

bayi kuning

Apabila melihat kulit anak berubah warna, ramai ibu bapa mula mencari pelbagai ikhtiar untuk menurunkan peratusan bayi kuning dengan cepat.

Namun Public Health Malaysia (PHM) menegaskan bahawa rawatan jaundis tidak boleh dibuat secara sendiri tanpa pemeriksaan dan pemantauan yang betul kerana risikonya boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan bayi.

Baca juga: Bayi Dalam Kandungan Pergi Selamanya Selepas Sebulan, Letupan Putra Heights Tinggalkan Duka Berganda

RISIKO LAMPU BIRU BELI ‘ONLINE’ UNTUK BAYI KUNING

bayi kuning

Gambar PHM.

Perkongsian itu turut mengingatkan bahawa jaundis pada bayi bukan sekadar dinilai melalui mata kasar. Ia memerlukan bacaan bilirubin dalam darah serta penilaian profesional bagi menentukan rawatan yang sesuai.

KENAPA DIY PHOTOTHERAPY DI RUMAH SANGAT BERBAHAYA

Menurut perkongsian PHM, penggunaan lampu biru yang dibeli secara dalam talian tanpa pengesahan perubatan boleh membawa risiko besar kepada bayi. Antara sebab utama ia dianggap berbahaya ialah:

1. Ancaman kerosakan otak kekal (kernicterus)

Jaundis tidak boleh dinilai hanya dengan melihat warna kulit bayi.

Jika lampu yang digunakan tidak berkesan, paras bilirubin boleh meningkat secara senyap dan memasuki otak, sekali gus menyebabkan kecederaan otak yang kekal seperti pekak, lumpuh atau sawan.

2. Cahaya biru bukan sekadar warna biru

Rawatan fototerapi di hospital menggunakan julat gelombang cahaya spesifik antara 460 hingga 490 nanometer serta intensiti yang dikalibrasi oleh pakar.

Lampu biasa yang dibeli secara dalam talian mungkin tidak mempunyai spesifikasi tersebut dan tidak mampu memecahkan molekul bilirubin.

3. Tiada pemantauan keselamatan

Di hospital, bayi akan dipantau secara rapi termasuk perlindungan mata menggunakan alat khas, pemeriksaan suhu badan dan pemantauan penyusuan serta hidrasi.

Tanpa pemantauan ini, bayi berisiko mengalami masalah seperti kepanasan, hipotermia atau komplikasi lain.

PHM turut menegaskan bahawa walaupun terdapat rawatan di rumah, ia tetap memerlukan peralatan khas serta pemantauan berkala oleh petugas kesihatan, bukannya dilakukan secara sendiri tanpa penilaian profesional.

Baca juga: Ibu Mengandung Perlu Tahu, Ini Hukum Zakat Fitrah Untuk Bayi Dalam Kandungan…Wajib Atau Sunat?

bayi kuning

Gambar hiasan: Gemini AI

Usahawan wanita tampil beri penjelasan, tidak berniat mempromosikan

Dalam masa sama, seorang usahawan wanita yang berkongsi gambar penggunaan lampu biru untuk bayinya tampil memberikan penjelasan selepas isu tersebut mendapat perhatian ramai.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan lampu tersebut bukanlah rawatan utama, sebaliknya hanya percubaan sementara dan bukan untuk dipromosikan kepada orang lain.

Menurutnya, bayi tersebut tidak berada di bawah lampu biru untuk tempoh lama dan beliau tetap mengikuti nasihat doktor serta jururawat dalam merawat keadaan anaknya.

“Saya juga pembeli yang terpengaruh dengan penjual tersebut. Tetapi jangan risau, saya memang fokus untuk banyakkan susu bayi sahaja dan tidak menjadikan lampu ini sebagai perkara utama untuk menurunkan kuning anak. Selebihnya, saya ikut apa yang doktor dan jururawat sarankan,” jelasnya dengan memperbetulkan salah faham orang ramai.

Tambahnya lagi, sebagai seorang ibu yang menunggu kelahiran anak dalam tempoh yang lama, beliau tidak akan mengambil risiko yang boleh memudaratkan kesihatan bayi.

“Saya tunggu bayi ini lama, tidak mungkin saya mahu sakitkan anak saya. Saya juga ibu yang inginkan perkara terbaik untuk anak saya. Mohon maaf atas perkongsian gambar kenangan dengan lampu biru tersebut. Saya tidak berniat untuk mempromosikan,” jelasnya lagi.

Beliau turut berkongsi perkembangan terkini keadaan bayinya selepas pemeriksaan susulan, yang menunjukkan tanda positif.

“Alhamdulillah, hari keempat pemeriksaan, bacaan kuning sudah mula menurun. Susu pun semakin banyak dan bayi kerap buang air, jadi paras kuning semakin turun. Doakan semoga bacaan kuning turun lebih banyak sebelum dua minggu,” kongsinya lanjut.

Perkongsian ini menjadi peringatan penting bahawa walaupun niat ibu bapa adalah untuk membantu anak, rawatan kesihatan khususnya melibatkan bayi perlu berpandukan nasihat profesional dan bukti perubatan yang betul.

Baca juga: Angkara Mengidam Ayam Gepuk, Isteri Dibelasah Suami & Dimaki Bela 3 ‘Anjing’ Dalam Rumah Di Cheras!

Sumber: PHM (1) (2), Threads

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×