Euforia Bola 2026
Didik

Demi Impian Umi, Izz Darwisy Cipta Sejarah Raih 12A+ SPM Terbaik Kelantan, Nekad Kejar Cita-Cita Jadi Doktor

keputusan spm

Seorang pelajar, Muhammad Izz Darwisy Zamani membuktikan bahawa usaha, doa dan dorongan keluarga mampu membawa kejayaan luar biasa apabila berjaya meraih keputusan SPM cemerlang 12A+  yang diumumkan hari ini.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan diri, malah didorong oleh satu impian besar  untuk merealisasikan cita-cita ibunya yang tidak kesampaian menjadi seorang doktor.

Baca juga: Seramai 13,779 Calon Raih Semua A Dalam SPM 2025, Gred Purata Kebangsaan Catat Peningkatan!

KEPUTUSAN SPM 12A+, IZZ DARWISY TEKAD JADI DOKTOR TUNAIKAN IMPIAN IBU

keputusan spm

Foto: Kosmo!

Menurut Izz, ibunya, Mas Atikah Mansor pernah mendapat peluang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan selepas tamat SPM. Namun, hasrat tersebut terpaksa dilepaskan akibat masalah kesihatan.

Perkongsian hati ke hati bersama ibunya sejak Tingkatan 3 menjadi titik tolak kepada perubahan dalam dirinya. Sejak itu, Izz memasang azam untuk berjaya dalam pelajaran dan seterusnya menyambung cita-cita tersebut.

“Saya harap dengan keputusan ini, saya dapat jadi doktor dan tunaikan impian umi,” katanya.

Teknik Hafalan Jadi Kunci Kejayaan SPM 12A+

Menariknya, pelajar ini menggunakan teknik hafalan yang sama seperti ketika menghafaz al-Quran untuk menguasai 12 subjek SPM.

Izz yang merupakan hafiz 30 juzuk al-Quran sejak Tingkatan Tiga mengamalkan kaedah fokus satu subjek dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum membuat ulang kaji menyeluruh pada hari terakhir.

Pendekatan ini membantu beliau menguasai semua mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi serta subjek aliran agama.

Selain usaha akademik, Izz turut menitikberatkan aspek adab dalam menuntut ilmu. Menurutnya, menghormati ibu bapa dan guru serta menjaga tutur kata adalah antara kunci keberkatan dalam pembelajaran.

Beliau juga memastikan memberi fokus sepenuhnya ketika berada di dalam kelas dan tidak mengambil mudah peranan guru.

keputusan spm

Foto: Harian Metro

Sepanjang bergelar pelajar asrama, amalan seperti membaca Surah Yasin dan solat tahajud menjadi rutin harian yang terus diamalkan walaupun pulang ke rumah.

Bagi Izz, keseimbangan antara usaha dan doa adalah sangat penting dalam mencapai kejayaan.

Aktif Sukan & Kuasai Tiga Bahasa

Bukan sahaja cemerlang akademik, Izz juga aktif dalam bidang kokurikulum. Beliau pernah mewakili peringkat negeri bagi sukan pingpong dan catur, selain terlibat dalam bola sepak di peringkat daerah.

Lebih mengagumkan, Izz fasih dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Arab dan Perancis.

Sebagai langkah seterusnya, Izz merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang asasi perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Dengan pencapaian luar biasa ini, beliau juga muncul sebagai calon tunggal di Kelantan yang berjaya memperoleh keputusan 12A+ dalam SPM kali ini.

Baca juga: 19 MRSM Terus Unggul, Ini ‘Ranking’ Penuh MRSM & SBP Terbaik Bagi SPM 2025!

Sumber: Harian Metro 

FT Images: Harian Metro 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×