Setiap ibu bapa pasti pernah melalui detik cemas apabila anak jatuh ketika bermain. Walaupun kelihatan seperti perkara biasa, situasi tersebut sebenarnya boleh bertukar menjadi serius tanpa disedari.
Menerusi satu perkongsian pengalaman, seorang bapa menceritakan detik mencemaskan apabila anaknya tiba-tiba menunjukkan perubahan keadaan selepas terjatuh ketika sedang bergurau di rumah.
Baca juga: Momen Paling Bermakna! Nora Danish Tersentuh Anak Sulung Jadi Imam Solat – “My Qiam Partner”
ANAK JATUH KETIKA BERMAIN, TIBA-TIBA PUCAT

Freepik
Menurutnya, ketika itu mereka hanya bermain seperti biasa sebelum anaknya terjatuh dan badan sedikit terlipat ke belakang. Pada awalnya, keadaan kelihatan normal kerana anak tersebut masih ketawa seperti biasa.
Namun, keadaan berubah secara tiba-tiba apabila anaknya menjadi diam dan tidak lagi aktif dan bibir si kecil kelihatan pucat, malah hampir kebiruan. Keadaan mata juga kelihatan layu seolah-olah mengantuk, sekali gus mencetuskan kebimbangan.
Mereka segera cuba mengejutkan anaknya dengan menepuk pipi sambil memanggil namanya agar tidak tertidur. Dalam keadaan panik, mereka terus membuat keputusan untuk membawa anak ke hospital dengan segera.
Sepanjang perjalanan ke hospital, isterinya tidak henti-henti menepuk pipi anak mereka bagi memastikan dia terus sedar dan tidak terlelap.
Setibanya di bahagian kecemasan, kakitangan perubatan bertindak pantas dengan membawa kanak-kanak tersebut masuk untuk rawatan lanjut menggunakan pengusung, sementara ibu bapanya menunggu di luar dengan penuh debaran.
Doktor yang merawat kemudian memaklumkan bahawa keadaan tersebut berkemungkinan berpunca daripada reaksi terkejut akibat jatuh. Antara simptom yang boleh berlaku termasuk pucat dan rasa mengantuk, yang dikaitkan dengan kemungkinan oksigen tidak sampai ke otak secara optimum ketika itu.
Walau bagaimanapun, tindakan pantas ibu bapa membawa anak ke hospital dianggap sangat tepat kerana pemeriksaan awal mendapati keadaan anak tersebut stabil. Namun begitu, pihak hospital tetap menempatkan kanak-kanak itu di wad selama 24 jam untuk pemantauan rapi.
JANGAN AMBIL MUDAH WALAUPUN JATUH SIKIT SAHAJA..

Freepik
Pengalaman tersebut memberi kesedaran besar kepada si bapa bahawa insiden jatuh, walaupun nampak ringan, tidak boleh dipandang remeh. Bukan sahaja bahagian kepala, malah seluruh anggota badan perlu diberi perhatian sekiranya berlaku sebarang hentakan.
Dia turut berkongsi pesanan penting daripada doktor yang merawat agar ibu bapa tidak mengambil mudah sebarang kecederaan atau perubahan keadaan anak.
Sekiranya berlaku insiden jatuh atau sebarang keadaan yang mencurigakan, langkah terbaik adalah mendapatkan pemeriksaan di hospital dengan segera bagi mengelakkan risiko yang lebih serius.
Syukur, anak tersebut dilaporkan pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah pada keesokan harinya selepas dipantau oleh pihak hospital.
Perkongsian ini menjadi peringatan buat semua ibu bapa agar sentiasa peka dan bertindak pantas demi keselamatan anak-anak.
Sumber: Facebook Pelukan Hati Si Kecil
