Musim cuaca panas yang semakin ketara kebelakangan ini mendorong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah proaktif termasuk mengawal aktiviti luar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah terus terpelihara.
Seiring dengan pembukaan semula sekolah selepas tamat Cuti Penggal 1, semua institusi pendidikan di bawah KPM diminta untuk bersiap siaga serta melaksanakan langkah awal dalam menghadapi risiko cuaca panas yang boleh menjejaskan kesihatan murid.
Baca juga: Bersedia Hadapi Cuaca Panas Melampau, Malaysia Bakal Dilanda El-Nino Terpanas Dalam Sejarah!
CUACA PANAS LEBIH 35°C, SEKOLAH TANGGUH AKTIVITI LUAR

Foto: Gemini AI
Antara garis panduan utama yang ditekankan ialah penangguhan aktiviti luar sekiranya suhu mencecah lebih daripada 35 darjah Celsius. Langkah ini penting bagi mengelakkan murid terdedah kepada risiko seperti strok haba, dehidrasi, dan keletihan melampau.
Pihak sekolah juga diminta untuk sentiasa memantau sebarang aktiviti yang melibatkan pendedahan terus kepada cuaca panas, termasuk aktiviti kokurikulum dan sukan.
KPM turut menekankan kepentingan memastikan bekalan air minuman bersih sentiasa mencukupi di sekolah. Murid juga digalakkan untuk minum air dalam kuantiti yang mencukupi bagi membantu mengawal suhu badan.
Dalam masa sama, murid asrama perlu diberi perhatian khusus apabila pihak sekolah diminta menyediakan bekalan air sekiranya berlaku keadaan kritikal atau kekurangan sumber air.
Kerjasama Dengan Fasiliti Kesihatan Berdekatan, Kelonggaran Pemakaian

Foto: Gemini AI
Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, pihak sekolah juga disaran untuk sentiasa berwaspada serta menjalinkan kerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan.
Langkah ini penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku komplikasi kesihatan akibat cuaca panas dalam kalangan murid.
Sebagai langkah tambahan, KPM turut memberi pertimbangan kepada pihak sekolah untuk membenarkan murid, guru dan kakitangan memakai pakaian sukan yang lebih sesuai dan sopan ketika cuaca panas. Kelonggaran ini bagaimanapun perlu dilaksanakan berdasarkan situasi semasa dan keperluan di peringkat institusi masing-masing.
KPM turut mengingatkan semua institusi pendidikan agar sentiasa peka dengan perkembangan fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Berdasarkan kalendar akademik, sekolah bagi Kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu) bercuti dari 20 Mac hingga 28 Mac.
Manakala Kumpulan B yang melibatkan negeri seperti Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak pula bercuti bermula 21 Mac hingga 29 Mac sebelum sesi persekolahan disambung semula.
Baca juga: 15 Kes Cuaca Panas Termasuk 1 Kematian Kanak-Kanak Dilaporkan, Awasi 3 Tanda Strok Haba Ini
Sumber: Harian Metro
FT Images: Gemini AI
