Kini, dengan adanya Kalkulator Musafir, urusan menyemak kelayakan solat jamak dan qasar menjadi lebih mudah dan pantas tanpa perlu membuat kiraan secara manual. Di mana, dalam situasi tertentu seperti perjalanan jauh atau balik kampung, ramai umat Islam mungkin tertanya-tanya sama ada mereka layak menunaikan solat tersebut.
Solat merupakan ibadah wajib yang perlu ditunaikan dalam apa jua keadaan, namun Islam turut memberikan kelonggaran kepada mereka yang bermusafir. Kelonggaran ini bertujuan memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab agama walaupun berada dalam perjalanan.
KALKULATOR MUSAFIR BANTU SEMAK KELAYAKAN SOLAT JAMAK & QASAR

Dibangunkan untuk bantu orang ramai elak keliru ketika bermusafir
Seorang individu yang juga guru al-Quran telah membangunkan satu projek rintis dikenali sebagai Kalkulator Musafir bagi membantu orang ramai menentukan kelayakan menunaikan solat jamak dan qasar.
Menurut perkongsian beliau, kemudahan ini amat sesuai digunakan terutama ketika musim cuti atau balik kampung, apabila ramai yang melakukan perjalanan jauh dalam tempoh beberapa hari
“Musim balik kampung ni korang boleh cuba pilot projek Kalkulator Musafir ini. Boleh tahu sama ada perjalanan tersebut dibenarkan untuk jamak & qasar atau tidak,” jelasnya di X.
Di mana, kekeliruan tentang syarat musafir yang sering terjadi pada orang ramai adalah berkaitan tempoh menetap di sesuatu tempat atau jarak perjalanan yang perlu dipenuhi.
Secara umum, antara syarat asas musafir yang sering dirujuk termasuk:
- Jarak perjalanan sekurang-kurangnya dua marhalah (lebih kurang 83 kilometer)
- Tujuan perjalanan yang harus
- Tempoh menetap tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang)
Baca juga: Ibu Mengandung Perlu Tahu, Ini Hukum Zakat Fitrah Untuk Bayi Dalam Kandungan…Wajib Atau Sunat?

Hanya isi maklumat asas, sistem terus paparkan keputusan
Apa yang menarik, penggunaan kalkulator ini sangat mudah kerana pengguna hanya perlu memasukkan beberapa maklumat asas berkaitan perjalanan. Selepas itu, sistem akan memaparkan garis masa perjalanan dan tempoh kelayakan untuk menunaikan solat jamak dan qasar.
Kalkulator ini juga menyediakan dua mod kiraan berbeza yang boleh dipilih mengikut keperluan pengguna, iaitu:
- Kiraan ringkas: Memberikan anggaran pantas berdasarkan tempoh hari perjalanan
- Kiraan jadual fiqh: Mengambil kira siang atau malam serta hari syarie selepas waktu Maghrib
Kemudahan ini dilihat sangat membantu terutama bagi mereka yang kerap bermusafir atas urusan kerja, keluarga atau percutian.
Selain itu, terdapat juga ciri tambahan yang membolehkan pengguna menyimpan keputusan pengiraan dengan memasukkan alamat e-mel, sekali gus memudahkan rujukan semula pada masa akan datang.
Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk memudahkan urusan ibadah harian, selaras dengan prinsip Islam yang menitikberatkan kemudahan dan kesejahteraan umat.
Musim balik kampung ni korang boleh cuba pilot projek Kalkulator Musafir ini.
Boleh tahu sama ada perjalanan tersebut dibenarkan untuk jamak & qasar atau tidak.
Pautan: https://t.co/WIAOvNWzIC
Selamat mencuba & bermusafir! pic.twitter.com/Bkgfha0Paf
— Nasrullah 🇵🇸 (@mnasrullah00) March 18, 2026
Baca juga: Wanita Kongsi Pengalaman Masuk Dewan Bedah, Rupanya Ada ‘Tudung OT’ Untuk Jaga Aurat Pesakit!
Sumber: X – @mnasrullah00 / mnasrullah.com
FT Image: X – @mnasrullah00
