Seorang bayi maut selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang, pada 9 Mac lalu. Kejadian yang berlaku pada awal pagi itu mengundang rasa pilu dalam kalangan masyarakat, apatah lagi melibatkan bayi yang masih kecil dan memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.
Mangsa difahamkan dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 pagi.
BAYI MAUT DI TASKA HOSPITAL, POLIS SAHKAN KERANA LEMAS

Foto: Harian Metro
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan mengesahkan bahawa punca kematian bayi tersebut adalah disebabkan lemas. Pihak perubatan turut dilaporkan telah berusaha menyelamatkan mangsa dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira satu jam, namun usaha tersebut tidak berjaya.
Difahamkan, mangsa iaitu Hayl Haarith Mohd Syafaeez dihantar ke pusat asuhan yang beroperasi 24 jam oleh ibunya yang merupakan seorang jururawat dan sedang bertugas syif malam ketika kejadian berlaku.
Susulan insiden itu, dua wanita yang merupakan pekerja taska terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan. Tempoh reman terhadap kedua-dua individu tersebut telah disambung selama tujuh hari lagi sehingga 22 Mac.
Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan pihak polis sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Foto: Freepik
Perkongsian mengenai kejadian ini bukan sahaja meraih perhatian ramai, malah turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa sedih serta simpati terhadap nasib bayi tersebut. Tidak kurang juga yang menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan di taska.
Dalam masa sama, insiden ini turut mengingatkan masyarakat tentang pentingnya pemantauan rapi serta pematuhan prosedur keselamatan di pusat jagaan kanak-kanak, agar kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.
Baca juga: Bayi Maut Di Taska Hospital, Dua Petugas Didapati TIDAK Pernah Ikuti Kursus Asuhan Permata
Sumber: Harian Metro
FT Images: Berita Harian
