FGV Holdings Berhad (FGV) dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri.
Program yang berlangsung di perkarangan SOGO Kuala Lumpur ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.
2,000 pek bubur lambuk diagihkan
Antara pengisian utama program termasuk pelancaran Op Selamat 26, gotong-royong memasak bubur lambuk, pengagihan bubur kepada anggota polis serta orang ramai, selain majlis berbuka puasa bersama anggota trafik dan penyampaian sumbangan Aidilfitri.
Program ini diketuai oleh CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan disertai Mohamad Fadzil Hitam, Ahli Lembaga Pengarah FGV, dengan sebanyak 2,000 pek bubur lambuk berjaya diagihkan kepada anggota Polis Trafik yang bertugas serta orang awam.
Penyediaan bubur lambuk ini menggunakan produk keluaran FGV seperti beras, minyak masak, santan dan bahan keperluan lain.
Majlis berbuka puasa & sumbangan Ramadan

Majlis turut diteruskan dengan sesi berbuka puasa bersama anggota trafik di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee.
Dalam masa sama, sumbangan Ramadan disampaikan kepada 40 penerima terdiri daripada balu, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Setiap penerima menerima wang tunai serta barangan keperluan asas termasuk beras, minyak masak dan produk makanan lain.

Selain itu, 150 anak warga trafik turut menerima duit raya.
Inisiatif ini juga bertujuan menghargai komitmen anggota polis trafik yang bertugas memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya ketika musim perayaan.
Melalui program ini, FGV menzahirkan penghargaan selain memperkukuh kerjasama dengan pihak PDRM.
Komitmen FGV terhadap masyarakat

Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat FGV, “FGV Seikhlas Hati”, yang menekankan nilai kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
FGV turut menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong kesejahteraan sosial serta menyumbang kepada komuniti, khususnya sepanjang Ramadan dan musim perayaan.
