Menjelang Aidilfitri, bunyi mercun sering kedengaran di merata tempat apabila permainan mercun menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat. Namun, tindakan segelintir individu yang didakwa bermain mercun berhampiran kawasan hospital baru-baru ini mengundang kecaman ramai kerana dikatakan mengganggu pesakit, khususnya bayi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Kejadian tersebut didakwa berlaku di kawasan belakang Hospital Sultanah Nur Zahirah apabila bunyi letupan mercun dipercayai kedengaran sehingga ke dalam wad hospital berkenaan.
Baca juga: Padah Main Mercun Tanpa Pengawasan Dalam Rumah, Budak 4 Tahun Putus Beberapa Jari!
BUNYI MERCUN DIDENGARI HINGGA DALAM WAD NICU

Threads @ziey8985
Menerusi satu perkongsian di aplikasi Threads oleh pengguna dikenali sebagai @Ziey8985, sebuah video memaparkan beberapa individu dipercayai bermain mercun di kawasan tepi pantai yang terletak berhampiran hospital tersebut.
Menurut perkongsian itu, bunyi letupan mercun yang kuat boleh didengari sehingga ke dalam wad NICU, tempat bayi-bayi yang memerlukan pemantauan rapi dirawat.
Dalam satu lagi video yang dirakam dari dalam wad, kedengaran bunyi letupan mercun dari luar sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
“Siapa yang pasang mercun belakang HSNZ tadi lepas berbuka? Memang tak reti bahasa lah. Kasihan dekat bayi-bayi dalam NICU ni oi,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Pengguna tersebut turut memaklumkan bahawa kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. Menurutnya, laporan dibuat selepas beberapa individu menyedari bunyi mercun tersebut terlalu hampir dengan kawasan hospital.
Orang ramai kecam tindakan tidak bertanggungjawab
Di ruangan komen, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan individu yang bermain mercun berhampiran hospital.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk kebimbangan terhadap keadaan bayi di dalam NICU yang sensitif terhadap bunyi bising serta memerlukan suasana yang tenang untuk proses rawatan.
Ada juga yang berharap pihak berkuasa dapat meningkatkan rondaan di kawasan sekitar hospital bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Selain itu, beberapa pengguna turut mengingatkan bahawa kawasan hospital merupakan tempat pesakit mendapatkan rawatan dan berehat, justeru aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman seperti bermain mercun wajar dielakkan.
Situasi tersebut sekali lagi mengingatkan masyarakat agar lebih peka terhadap persekitaran dan mempertimbangkan kesan tindakan mereka terhadap orang lain, terutama pesakit yang sedang menjalani rawatan.
View on Threads
Baca juga: Seorang Kanak-Kanak Perempuan Berada Di Zon Merah, 2 Lelaki Ditahan Insiden Letupan Mercun Di Kulim
Sumber: Threads @ziey8985
FT Images: Threads @ziey8985 dan Harian Metro
