Euforia Bola 2026
Famili

3 Bulan Simpan Dalam Bilik, Wanita Terkejut Rupanya Ada Kamera ‘Spy’ Dalam Bunga Konvokesyen

kamera pengintip

Seorang wanita terkejut apabila mendakwa menemui sebuah kamera pengintip yang disembunyikan dalam jambangan bunga yang diterimanya sempena majlis konvokesyen di sebuah universiti awam pada November lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Anne, 26, berkata kewujudan peranti tersebut hanya disedari kira-kira tiga bulan kemudian selepas kakaknya menyedari sesuatu yang mencurigakan pada telefon bimbit milik suaminya.

Baca juga: “Saya Tukar Cadar, Vakum & Kemas Rumah Sejak Kahwin” – Faizal Hussein Dedah Cara Luah Kasih Sayang Pada Isteri

ADA KAMERA PENGINTIP DI BUNGA KONVOKESYEN

KAMERA PENGINTIP

Kredit: Berita Harian

Menurutnya, telefon berkenaan secara tiba-tiba tersambung melalui Bluetooth kepada satu peranti dengan nama yang pelik dan panjang, sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Curiga dengan keadaan itu, mereka cuba menyambung peranti tersebut untuk mengetahui lebih lanjut.

“Telefon itu memang selalu digunakan oleh kakak saya walaupun ia milik suaminya. Apabila cuba sambungkan peranti itu, muncul arahan untuk memuat turun satu aplikasi kamera dikenali sebagai IWF Camera.

“Selepas aplikasi itu dimuat turun, skrin telefon terus memaparkan rakaman secara langsung dari dalam bilik tidur saya yang jelas menunjukkan katil serta kipas yang sedang berpusing,” katanya.

Anne berkata jambangan bunga tersebut sebelum ini diletakkan di dalam biliknya dan berada betul-betul menghadap katil.

Pemeriksaan lanjut mendapati kamera berkenaan bersaiz sangat kecil dan dilengkapi lampu merah sebagai penunjuk bahawa peranti itu sedang berfungsi.

Lebih mengejutkan, bahagian yang disangkakan sebagai span untuk menyokong bunga rupa-rupanya adalah bank kuasa yang digunakan untuk membekalkan tenaga kepada kamera tersebut.

“Peranti itu menggunakan sambungan Wi-Fi untuk mengakses rakaman dan ia disembunyikan dengan sangat kemas dalam jambangan bunga itu,” katanya.

Buat laporan polis untuk tindakan lanjut

KAMERA PENGINTIP

Kredit: Berita Harian

Susulan penemuan tersebut, Anne bersama kakaknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Menurutnya, pihak polis turut hadir ke rumah mereka bagi melihat sendiri lokasi jambangan bunga itu diletakkan serta mengambil gambar sebagai sebahagian daripada siasatan.

Anne berkata pegawai penyiasat memaklumkan bahawa ini merupakan kes pertama melibatkan penemuan kamera tersembunyi dalam jambangan bunga yang dikendalikan oleh pihak mereka.

Tambahnya, pihak polis berpendapat kemungkinan peranti itu dipasang oleh pembekal luar yang membekalkan stok jambangan bunga kepada vendor.

Mangsa mendakwa jambangan bunga tersebut dibeli di kawasan berlangsungnya Istiadat Konvokesyen. Ketika ini, jambangan bunga yang mengandungi kamera berkenaan berada dalam simpanan pihak polis bagi tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, Anne memaklumkan bahawa dia pada awalnya berkongsi pengalaman tersebut di platform Threads, namun terpaksa memadam hantaran berkenaan selepas menerima pelbagai komen negatif daripada warganet.

Menurutnya, ada pihak yang membuat tuduhan tidak berasas dengan mengaitkan ahli keluarganya sendiri termasuk abang ipar serta anak saudaranya yang berusia 11 tahun.

“Tidak logik untuk menuduh anak saudara saya yang meletakkan kamera itu walaupun bunga itu diberikan olehnya, kerana sebenarnya saya sendiri yang meminta kakak saya membelinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

Baca juga: Bila Lalat Jatuh Dalam Air Minuman, Tak Perlu Buang! Tenggelamkan Dulu Macam Cara Nabi Ajar Ini…

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×