Ramadan bakal melabuhkan tirainya, namun bagi ibu tunggal, persiapan menunaikan zakat fitrah bukan sekadar rutin, tetapi tanggungjawab yang perlu difahami dan dilaksanakan sendiri.
Walaupun kehilangan suami, kewajipan menunaikan zakat fitrah tetap menjadi tanggungjawab individu apabila syarat-syarat tertentu dipenuhi.
Baca juga: Wanita Kongsi Pengalaman Masuk Dewan Bedah, Rupanya Ada ‘Tudung OT’ Untuk Jaga Aurat Pesakit!
FAKTA PENTING ZAKAT FITRAH UNTUK IBU TUNGGAL

Gambar hiasan: Gemini AI
Menurut Portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, zakat fitrah adalah ibadah badaniah yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam ke atas diri sendiri dan tanggungannya.
1. Wajib atas diri sendiri
Seorang ibu tunggal yang kematian suami dan memiliki lebihan harta serta kemampuan kewangan hendaklah menunaikan zakat fitrah untuk dirinya sendiri selepas terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan.
Ini berdasarkan riwayat Ibn Umar RAnhuma bahawa Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah atas setiap individu Muslim (Muslim, 284).
2. Tidak wajib atas saudara lelaki
Adik-beradik lelaki atau saudara lain tidak diwajibkan menunaikan zakat fitrah bagi pihak ibu tunggal, kecuali jika ibu tunggal memberi keizinan secara sukarela.
Menurut Syeikh Muhammad Zuhaili dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e,
“Tidak diharus bagi seseorang itu menunaikan zakat fitrah kepada orang lain (ajnabi) melainkan mendapat keizinannya. Serta tidak sah sekiranya dia menunaikannya tanpa mendapat keizinan.
“Ini kerana zakat fitrah itu ibadah dan tidak akan tertunai melainkan mendapat keizinan daripadanya. Namun sekiranya mendapat keizinan maka tertunailah zakat fitrahnya.” (Rujuk al-Mu’tamad fi a-Fiqh al-Syafi’e, 2/102)
3. Syarat wajib zakat
- Islam
- Memasuki waktu wajib selepas terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan
- Mempunyai lebihan harta untuk diri sendiri dan tanggungan pada siang dan malam Hari Raya
Baca juga: Wanita Kongsi 45 Doa Rumi Untuk Dibaca Pada 10 Malam Terakhir Ramadan, Mari Rebut Lailatulqadar!

Gambar hiasan: Gemini AI
4. Zakat fitrah adalah ibadah individu
Ulama mazhab Syafi’ie menegaskan bahawa zakat fitrah adalah ibadah badaniah. Hal ini seperti yang dinulkan oleh Imam Syihabuddin al-Ramli (al-Ramli al-Kabir) di dalam hasyiahnya:
“al-Bulqini berkata, ini kerana zakat (fitrah) merupakan ibadah badaniyyah”
Ertinya, hanya individu itu sendiri yang sah menunaikannya, kecuali mendapat kebenaran.
5. Tanggungjawab atas tanggungan
Ulama juga menekankan, seseorang yang memenuhi syarat wajib zakat fitrah hendaklah mengeluarkannya untuk diri sendiri serta bagi tanggungan mereka seperti anak kecil atau isteri, mengikut al-Fiqh al-Manhaji mazhab Syafi’ie.
Kesimpulan
- Seorang ibu tunggal yang memenuhi syarat wajib zakat fitrah bertanggungjawab untuk menunaikannya sendiri.
- Sekiranya saudara atau abang ingin membantu, mereka hanya boleh berbuat demikian setelah mendapat kebenaran empunya badan.
- Pendekatan ini mengekalkan konsep ibadah individu dan mematuhi hukum syarak dalam melaksanakan kewajipan zakat fitrah.
Baca juga: Haid Berhenti Tengah Hari Ramadan, Boleh Terus Makan Atau Wajib Tahan Sampai Maghrib?
Sumber: Portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: Gemini AI
