Satu perkongsian menyentuh hati di media sosial baru-baru ini mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet apabila seorang bayi 8 bulan dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya bersama ibu bapanya.
Bayi 8 Bulan Meninggal Dunia Selepas Kemalangan

Foto: Facebook Wannur Allia Wan Rosli
Menerusi perkongsian tersebut, difahamkan kejadian berlaku pada 8 Mac 2026 (Ahad) di kawasan Kelulut apabila pasangan suami isteri bersama bayi mereka terlibat dalam kemalangan. Dalam insiden itu, si bapa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan manakala si ibu patah tangan. Namun, keadaan bayi mereka, Wan Umair Zafri, dilaporkan kritikal.
Menurut ahli keluarga yang berkongsi kisah tersebut, bayi berkenaan terpaksa ditidurkan dan doktor memaklumkan bahawa dia mengalami brain death (kematian otak). Berita itu sangat mengejutkan keluarga sehingga membuatkan semua ahli keluarga berkumpul bagi memberikan sokongan dan kekuatan kepada pasangan tersebut.
“Seluruh ahli keluarga datang berkumpul nak berikan kekuatan dan semangat kepada mereka. Kami harapkan keajaiban untuk Umair,” tulisnya.
Ahli keluarga juga memaklumkan bahawa mereka bergegas pulang ke kampung pada malam kejadian dan tiba sekitar jam 2.30 pagi untuk bersama keluarga yang sedang melalui detik sukar itu.
Namun pada keesokan harinya, 9 Mac 2026 (Isnin) sekitar jam 9.40 pagi, khabar yang paling ditakuti akhirnya tiba apabila si bapa memaklumkan bahawa nadi bayi kecil itu telah berhenti. Doktor kemudian menanggalkan semua peralatan perubatan yang dipasang pada tubuhnya.
Saat itu digambarkan sebagai detik yang sangat sunyi dan menyayat hati buat seluruh keluarga.

Foto: Facebook Wannur Allia Wan Rosli
Walaupun diuji dengan kehilangan yang amat berat, kedua-dua ibu bapa bayi tersebut dilihat sangat tabah dan reda dengan ketentuan Ilahi. Si ibu turut menyatakan keyakinannya bahawa anak kecil itu akan dijaga oleh Nabi Ibrahim di alam sana.
Ahli keluarga yang berkongsi kisah ini turut menggambarkan wajah bayi tersebut kelihatan sangat tenang, seolah-olah sedang tidur tanpa sebarang kesakitan.
“Kami semua sayang Umair. Bermainlah Wan Umair Zafri bersama wildan syurga di sana,” tulisnya dalam perkongsian tersebut.
Kisah ini turut mengundang rasa simpati ramai yang mendoakan agar keluarga berkenaan terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian besar, lebih-lebih lagi ia berlaku pada bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan.
Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarga dan semoga keluarga ini terus kuat menghadapi dugaan .Al-Fatihah.
Baca juga: Ibu Hiba Dukung Tubuh Kaku Anak Dari Rumah Pengasuh, “Anak Saya Dah Dekat Syurga, Doakan Dia..”
Sumber: Facebook Wannur Allia Wan Rosli
FT Images: Facebook Wannur Allia Wan Rosli
