Kutu babi, juga dikenali sebagai sengkenit, cengkenit, tempiras, capak, atau pirah ialah sejenis parasit. Apabila seseorang digigit kutu babi, ia melekat pada kulit untuk menghisap darah. Walaupun kutu ini kecil seperti hujung pin, tetapi boleh membesar sehingga saiz sebiji guli selepas kenyang.
Walaupun kebanyakan kes digigit kutu babi tidak berbahaya, ada kalanya ia boleh menyebabkan alahan atau membawa penyakit serius seperti penyakit Lyme, yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera.
Baca juga: Doa Penawar Racun Akibat Selalu Digigit Serangga Berbisa, InsyaAllah Tak Melarat..
TANDA TANDA DIGIGIT KUTU BABI

Foto: MySihat
Gigitan kutu biasanya tidak menimbulkan simptom, Namun begitu, individu yang alah kepada kutu terdapat beberapa tanda yang boleh muncul, antaranya;
- Rasa sakit atau pedih pada kawasan gigitan
- Ruam pada kulit
- Kulit melepuh
- Sesak nafas (kes alahan teruk)
LANGKAH BETUL UNTUK MEMBUANG KUTU BABI & APA RISIKONYA
Jika digigit kutu babi, tindakan membuang kutu secara tidak betul boleh memburukkan keadaan. Antara langkah yang tepat untuk membuang kutu babi ialah;
- Gunakan penyepit atau tweeter.
- Tarik perlahan-lahan secara menegak.
- Elakkan menyentuh kutu dengan tangan untuk mengurangkan risiko jangkitan
- Jangan gunakan jeli petroleum atau mancis panas kerana kutu boleh terbenam.
- Bersihkan kawasan gigitan dengan air suam, alkohol, atau skrub iodin.

Kebanyakan kutu hanya merayap di badan tanpa menyebabkan jangkitan. Namun, jika kutu melekat untuk jangka masa tertentu, ia boleh menyebarkan kuman ke dalam darah. Risiko dijangkiti penyakit Lyme adalah rendah jika kutu dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.
Tanda-tanda awal penyakit Lyme termasuk:
- Ruam berbentuk bull’s eye (tiga hingga 14 hari selepas digigit)
- Demam, menggigil, keletihan
- Sakit otot dan sendi
- Pening kepala
Sekiranya ruam muncul, berjumpalah dengan doktor walaupun ruam telah hilang, kerana risiko penyakit Lyme masih wujud.
CARA MENGELAKKAN DIGIGIT KUTU BABI
Antara cara untuk mengelakkan daripada terkena gigitan kutu babi ialah;
- Pakai pakaian yang menutup kulit, masukkan baju ke dalam seluar dan pakai stokin di luar.
- Gunakan penghalau serangga yang mengandungi DEET.
- Elakkan kawasan bersemak ketika mendaki atau melakukan aktiviti luar.
- Pilih pakaian berwarna cerah supaya kutu lebih mudah dikesan.
- Periksa kulit dan rambut anak-anak selepas bermain di luar, terutama kulit kepala, belakang telinga, leher, dan bawah ketiak.
Walaupun kelihatan kecil, digigit kutu babi boleh memberi kesan serius jika diabaikan. Sentiasa peka dan ambil langkah berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri.
Baca juga: Ada 7 Petua Mudah MELEGAKAN Gigitan Serangga, Guna Bawang Merah Pun Elok!
Sumber: MySihat
FT Images: Harian Metro dan MySihat
