Aktiviti memandu kereta mungkin kelihatan mudah bagi ramai orang, namun perkara kecil seperti pemakaian selipar sebenarnya boleh membawa risiko yang tidak disangka.
Baru-baru ini, tular satu kejadian di media sosial apabila sebuah kereta terjatuh ke dalam parit. Dipercayai, ketika kejadian selipar yang dipakai pemandu tersangkut pada karpet kenderaan.
INSIDEN PAKAI SELIPAR KETIKA MEMANDU KERETA

Gambar: MNoor Arifin
Perkongsian tersebut dibuat oleh pengguna Facebook, MNoor Arifin pada Sabtu lalu yang memaklumkan kejadian berlaku di kawasan Pasar Cabang 3, Kuala Terengganu.
Selipar tersangkut ketika ingin tekan brek
Menurut perkongsian itu, kejadian berlaku ketika pemandu berkenaan ingin memarkir keretanya. Ketika cuba mengangkat kaki untuk menekan brek, selipar yang dipakai dipercayai tersangkut pada karpet kereta.
Dalam keadaan panik, kaki pemandu tersebut secara tidak sengaja menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kereta bergerak ke hadapan.
Akibatnya, kenderaan jenis Toyota Avanza itu melanggar pagar penghadang sebelum terjatuh ke dalam parit besar berhampiran kawasan tersebut.
Menurut perkongsian itu lagi, pemandu yang berada seorang diri sempat menyelamatkan diri sebelum kereta tenggelam.
“Ketika kereta masih terapung, pemandu yang berada seorang diri sempat membuka tingkap kerana pintu tidak dapat dibuka akibat tekanan air dari luar sebelum keluar melalui tingkap kenderaan itu,” kongsi MNoor Arifin.
Difahamkan, pemandu tersebut berjaya keluar dari kenderaan dan berada dalam keadaan selamat.
Baca juga: [VIDEO] Anak Murid Kelas ‘Belakang’ Hadiahkan Motosikal, Momen Cikgu Hidupkan Enjin Buat Ramai Sebak

Gambar: MNoor Arifin
TIPS & BEBERAPA PENGAJARAN PENTING KETIKA MEMANDU
Susulan kejadian tersebut, MNoor Arifin turut berkongsi beberapa perkara yang boleh dijadikan pengajaran kepada orang ramai bagi mengelakkan situasi sama berlaku ketika memandu.
Antaranya ialah:
- Pakai kasut ketika memandu – “Memang seperti syarat JPJ, kita digalakkan memakai kasut ketika memandu. Malah semasa ujian memandu, calon boleh gagal serta-merta jika tidak memakai kasut.”
- Pastikan karpet kereta berada dalam keadaan baik – “Karpet kereta mesti rata di lantai serta berada pada posisi yang betul. Jika karpet rosak atau koyak, lebih baik terus tukar.”
- Elakkan meletakkan barang di bahagian kaki pemandu – Barang seperti botol air atau objek lain boleh bergerak dan tersekat pada pedal brek atau minyak.
Dalam pada itu, beberapa warga maya turut berkongsi pengalaman serta peringatan berkaitan situasi berbahaya ini.
“Lagi satu jangan letak botol air dekat lantai. Sebab botol boleh roll ke depan dan tersekat dekat brake. Bila nak tekan brake, tak boleh sebab dah kena block dengan botol. Bahaya sungguh.”
“Betul, part carpet dan selipar. Benda nampak kecil tapi impaknya besar macam yang terjadi dalam video ini.”
“Sebab itu di sekolah memandu dan ujian JPJ, tak dibenarkan pakai selipar.”
Perkongsian ini sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa perkara kecil ketika memandu kereta seperti pemakaian kasut, keadaan karpet dan kedudukan barang di bahagian kaki sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan di jalan raya.
Sumber: MNoor Arifin
FT Image: MNoor Arifin
