Drama Bila Cinta Menjadi Dosa membawa penonton menyelami kisah yang penuh ketegangan, membabitkan kepulangan yang mengundang konflik, rahsia yang kembali menghantui, serta pertarungan mempertahankan maruah dan pengaruh keluarga.
Drama bersiri 30 episod arahan Shuhaimi Lua ini bakal menemui penonton bermula 27 Februari 2026, setiap Jumaat hingga Ahad jam 9 malam di slot Lestary TV3.
Baca juga: Bayi 9 Bulan Ini Hidap Penyakit Jarang Berlaku, Bila Menangis Terus Senyap & Tidak Bernafas!
BILA CINTA MENJADI DOSA, CHE PUAN SARIMAH GUGAT CINTA?

Dibarisi pelakon seperti Che Puan Sarimah Ibrahim, Zamarul Hisham, Zairi Aziz, Alya Iman, Nelissa Nizam, Elizad Sharifuddin dan Maria Farida, drama Bila Cinta Menjadi Dosa ini menyorot kehidupan keluarga yang tampak sempurna tetapi mula goyah apabila rahsia lama muncul kembali.
Watak Zhafran (Zairi Aziz) kembali ke tanah air selepas lama meninggalkan keluarga. Namun, kepulangannya tidak sekadar reuni biasa. Ia mencetuskan ketegangan yang selama ini tersembunyi di sebalik kemewahan dan reputasi keluarga. Sementara itu, kemunculan Eva (Che Puan Sarimah Ibrahim) yang mendakwa mempunyai hubungan dengan Dato’ Yusof (Zamarul Hisham) mengugat kepercayaan dan mula memecahbelahkan keluarga.
Kehadiran Nurul Yasmeen (Alya Iman), bekas kekasih Zhafran, sebagai setiausaha Dato’ Yusof, turut menambah konflik apabila kenangan dan janji lama kembali menghantui Zhafran.
Menurut Zairi Aziz, kepulangan Zhafran kelihatan biasa pada awalnya, tetapi dia tidak menyangka ia akan mencetuskan kekacauan. Dia terpaksa menghadapi luka lama dan berperanan melindungi orang tersayang walaupun dalam diam masih mencari jawapan.
Bagi Zamarul Hisham, watak Dato’ Yusof digambarkan sebagai lelaki tegas yang percaya kawalan adalah kunci kestabilan.

“Apabila rahsia terbongkar, dia terpaksa menanggung akibatnya. Dalam usaha mempertahankan nama dan kedudukan, dia cuba membetulkan kesilapan yang pernah dilakukan, sama ada kerana kesedaran atau untuk mengekalkan kuasa,” katanya.
Bila Cinta Menjadi Dosa menggambarkan pertembungan antara cinta, tanggungjawab dan kepentingan diri. Setiap pilihan watak membawa implikasi tersendiri, dan kebenaran yang cuba dikunci akhirnya tetap mencari jalan.
Persoalannya, adakah rahsia lama mampu disimpan, atau ia bakal meruntuhkan keutuhan keluarga sepenuhnya?
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Bila Cinta Menjadi Dosa minggu ini di slot Lestary TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.
