Euforia Bola 2026
Famili

Pembunuh Meninggal Dunia 3 Minggu Lalu, Ibu Mangsa Tak Dapat Maafkan “Sanggup Dia Ragut Nyawa 3 Anak Perempuan Saya”

3 beradik

Tragedi kehilangan 3 beradik dalam satu kejadian kejam lebih sedekad lalu masih meninggalkan luka mendalam buat seorang ibu.

Walaupun masa sudah berlalu dan pelaku difahamkan telah meninggal dunia pada 3 minggu lalu, perasaan seorang ibu yang kehilangan tiga anak perempuan sekali gus masih sukar untuk dipadamkan.

Baca juga: Tragis! Jiran Terhidu Bau Busuk, Rupanya Ibu & Anak Sudah Meninggal Dunia Dalam Rumah Berkunci

TRAGEDI 3 BERADIK, IBU MANGSA TAK DAPAT MAAFKAN PEMBUNUH

3 beradik

Gambar NSTP/Nazdy Harun: Siti Aishah Ariffin, 53, dan suaminya Rusdi Rani, 51, menunjukkan foto tiga anak perempuannya yang dibunuh 13 tahun lalu.

Kisah pilu ini dikongsikan oleh Siti Aishah Ariffin, 53, yang sehingga hari ini mengakui tidak mampu memaafkan individu yang meragut nyawa anak-anaknya dalam kejadian yang berlaku pada 2013 di Kedah.

“Walau sudah 13 tahun berlalu dan pelaku pun sudah meninggal dunia tiga minggu lalu, saya tetap tidak dapat memaafkannya …perbuatan itu sangat kejam.

“Sanggup dia meragut nyawa tiga anak perempuan saya sekelip mata,” kata Siti Aishah Ariffin, 53, yang kehilangan tiga anak sekali gus dalam kejadian bunuh ketika Noor Syafikah Nadia Abdullah berusia 14 tahun di kawasan sawah terbiar di Kampung Alor Senibong, Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, dua lagi anaknya Nur Izzati Husna, berusia 12 tahun dan Puteri Nurul Akma, 3 tahun ketika kejadian ditemukan dalam terusan MADA di Kampung Padang Petani, dekat Alor Semela.

Tragedi bermula apabila anak keluar rumah

Menceritakan detik kejadian, Siti Aishah berkata tragedi itu berlaku pada 29 November 2013 apabila anaknya meminta kebenaran untuk keluar ke rumah rakan sekitar jam 7.30 malam.

Pada mulanya dia tidak mengizinkan permintaan tersebut, namun anaknya kemudian meminta kebenaran daripada ayahnya Rusdi Rani, 51, sebelum akhirnya dibenarkan keluar.

Namun kegusaran mula timbul apabila ketiga-tiga anaknya tidak pulang ke rumah selepas jam 8 malam.

Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, pasangan suami isteri itu segera keluar mencari anak-anak mereka di sekitar kawasan sungai dan juga rumah rakan anaknya.

“Pencarian kami tidak membuahkan hasil. Petang keesokan kami dihubungi pihak hospital meminta ke unit forensik kerana difahamkan anak kami ditemui sudah meninggal dunia oleh orang awam.

“Anak sulung ditemui di Padang Petani manakala dua lagi adiknya ditemui kawasan tali air,” katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Sehingga hari ini, pasangan itu masih tidak mengetahui motif sebenar kejadian tersebut. Malah menurutnya, keluarga suspek juga tidak pernah datang menemui mereka untuk memohon maaf selepas tragedi itu berlaku.

Baca juga: Anak Usia 6 Tahun Dah Jalani 170 Kali Kimo Akibat Kanser Otak, Kini Rafa Alaudin Disahkan Buta

3 beradik

Gambar NSTP/Nazdy Harun: Siti Aishah Ariffin, 53, menunjukkan nota terakhir yang ditinggalkan anak keduanya yang masih disimpan selepas kejadian pembunuhan 13 tahun lalu.

SETIAP AIDILFITRI JADI DETIK PALING MENYAYAT HATI

Menurut Siti Aishah, setiap kali menjelang Aidilfitri, hatinya menjadi sangat sayu kerana terkenangkan anak-anaknya yang telah pergi.

Sekiranya mereka masih hidup hari ini, ketiga-tiga anaknya sudah berusia 27, 25 dan 16 tahun.

“Kini hanya tinggal kami berdua menghabiskan sisa-sisa hidup dan suami kini menghidap masalah saraf mata sejak tujuh bulan lalu sehingga tidak dapat bekerja,” katanya.

Selepas kejadian itu juga, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halaman kerana terlalu sukar untuk terus tinggal di tempat yang penuh dengan kenangan pahit tersebut.

Siti Aishah dan suami kemudian berpindah ke kampung suaminya di Terengganu bagi memulakan kehidupan baharu.

“Jarak rumah kami dengan rumah pelaku hanya selang empat buah rumah saja dan ayah pelaku juga bekerja dengan kami bersawah.

“Saya tidak maafkan perbuatannya dunia dan akhirat, walaupun dia (pelaku) difahamkan sudah meninggal dunia.. biar Allah saja yang membalas perbuatan keji itu,” katanya.

Baca juga: [VIDEO] Anak Murid Kelas ‘Belakang’ Hadiahkan Motosikal, Momen Cikgu Hidupkan Enjin Buat Ramai Sebak

Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata beliau mengikuti perkembangan kes pembunuhan itu sejak selepas kejadian berlaku.

Menurutnya, pelaku telah menjalani hukuman sebelum ini dan kemudiannya dibebaskan, namun difahamkan meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air.

“Pelaku sudah pun menjalani hukuman dan sudah dibebaskan namun difahamkan pelaku sudah meninggal dunia tiga minggu lalu apabila ditemui tidak sedarkan dalam bilik air.

“Saya mengenali keluarga ini selepas kejadian dan mengikuti perkembangan mereka dari semasa ke semasa sejak 13 tahun lalu hingga kini.

“Justeru, bukan bulan Ramadan saja kami menyantuni keluarga ini malah kami membantu membina kehidupan mereka sejak selepas kejadian,” katanya.

Sumber: Berita Harian

FT Image: NSTP/Nazdy Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×