Perkongsian Azmi Saat tentang perkembangan anak perempuannya meruntun hati ramai apabila penyanyi itu mengakui masih belum berpeluang mendengar panggilan “ayah”.
Anak tunggalnya, Khalisa Insyirah kini berusia dua tahun empat bulan namun belum mampu menyebut sebarang perkataan bermakna.
ANAK AZMI SAAT BELUM BOLEH BERCAKAP, NANTIKAN PANGGILAN ‘AYAH’

Menurut Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Muhammad Saat, sebagai seorang bapa, perkara itu sedikit sebanyak mengundang rasa sedih dalam dirinya.
“Khalisa sekarang sudah 2 tahun 4 bulan. Alhamdulillah dia jarang sakit. Jarang sangat kami rasa susah menjaga dia. Jauh banyak yang seronok dari yang sedih.
“Cuma, satu nikmat besar yang belum kami rasai adalah panggilan ayah atau ibu dari Khalisa. Sampai sekarang, Khalisa belum ada sepatah pun perkataan bermakna dari mulutnya.
“Malah, kalau dipanggil namanya pun Khalisa tak respond. Namun syukurnya banyak juga bijaknya dari sudut lain,” katanya dalam satu hantaran di Instagram miliknya pada Selasa.
Baca juga: Pakar Psikiatri Kongsi 7 ‘JANGAN’ Dalam Proses Didik Anak Bila Mereka Berdepan Stres!
Sedia usaha demi intervensi awal
Menerusi satu hantaran di Instagram pada Selasa, Azmi memaklumkan dia dan isteri tidak akan membiarkan keadaan itu berlarutan. Malah, mereka bercadang mendapatkan khidmat intervensi awal kanak-kanak bagi membantu perkembangan pertuturan Khalisa.
Walaupun menyedari kos terapi yang perlu ditanggung bukan sedikit, vokalis kumpulan Caliph Buskers itu tetap komited untuk berusaha demi masa depan anaknya.
“Moga sedikit usaha ayah dan ibu ini dapat bantu adik untuk cepat bercakap. Ayah akan usahakan walau berapa pun kos yang perlu untuk kebaikan adik.
“Ibu akan selalu berdoa moga Allah sentiasa jagakan adik untuk kami. Mohon juga kawan-kawan doakan yang terbaik buat Khalisa dan kami ya,” ujarnya.
Dalam video yang dikongsikan, Azmi dilihat membawa Khalisa ke sebuah pusat perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak untuk mendapatkan nasihat lanjut berhubung situasi tersebut.
Baca juga: Mata Tiba-Tiba Sepet Selepas Beberapa Bulan Lahir, Rupanya Adam Hidap Kanser Saraf Tahap 4
Pernah diuji kehilangan anak sulung
Untuk rekod, Azmi Saat mendirikan rumah tangga dengan Nazira pada 2011.
Pasangan ini sebelum ini pernah melalui detik duka apabila anak sulung lelaki mereka, Allahyarham Khairul Afnan yang dilahirkan pada 27 September 2021 meninggal dunia tiga hari kemudian akibat kegagalan fungsi otak.
Pada November 2023, Azmi dan isteri sekali lagi dikurniakan cahaya mata perempuan yang diberi nama Khalisa Insyirah.
View this post on Instagram
Sumber: Instagram @azmi_saat
FT Image: Instagram Azmi Saat

