Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dikenalinya menerusi aplikasi TikTok.
Kes yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan remaja di platform media sosial.
Mekanik Dipenjara 10 Tahun & 2 Sebatan, Rogol Remaja 15 Tahun Dikenali Melalui Aplikasi TikTok

Foto: Freepik
Di Malaysia, kerajaan telah menetapkan larangan penggunaan media sosial termasuk TikTok bagi kanak-kanak bawah usia 16 tahun. Langkah itu dibuat sebagai usaha melindungi golongan bawah umur daripada risiko jenayah siber, eksploitasi seksual serta pengaruh tidak sihat di alam maya.
Menurut laporan The New Straits Times, tertuduh, Rafinus Bata Tukan, 30 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Monica Linsua di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Dalam rayuannya, lelaki berkenaan mendakwa perbuatan itu dilakukan secara suka sama suka dan mangsa memaklumkan kepadanya bahawa dia berusia 18 tahun ketika kejadian. Kesalahan itu dilakukan pada 7 Disember 2025 kira-kira jam 7 malam di sebuah bilik sewa di Inanam, Kota Kinabalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa laporan polis dibuat selepas pengadu dimaklumkan oleh anak perempuannya bahawa dia telah melakukan hubungan seksual dengan teman lelakinya yang dikenalinya selama sebulan menerusi TikTok.
Rayuan & Hujahan Pendakwaan

Foto: Freepik
Semasa rayuan, Rafinus yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dia merupakan anak sulung dan perlu menyara keluarganya. Dia turut menyatakan rasa kesal atas kejadian tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shafeerah Mad Iskim, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kes rogol merupakan kesalahan serius, lebih-lebih lagi mangsa masih di bawah umur ketika kejadian.
Menurutnya, walaupun hubungan seksual itu didakwa berlaku secara rela, undang-undang jelas menyatakan bahawa melakukan hubungan seks dengan individu bawah umur adalah satu kesalahan.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan supaya tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Kes ini membuktikan bahawa walaupun perkenalan bermula secara dalam talian, implikasinya boleh membawa kesan besar dan berpanjangan bukan sahaja kepada mangsa, malah kepada pelaku yang berdepan tindakan undang-undang tegas apabila melibatkan individu bawah umur.
Baca juga: Akaun Media Sosial Untuk Kanak-Kanak Bawah Usia 16 Tahun Dilarang Mulai 2026…Ramai Setuju!
Sumber: New Straits Times
