Dalam kehidupan rumah tangga, suami sifat wafa’ bukan sekadar istilah romantik. Ia melangkaui cinta biasa, menampilkan kesetiaan yang teguh walau diuji ujian paling getir.
Perkongsian ini datang daripada luahan Suhaili Ikhsan di Facebook tentang adik iparnya, seorang suami wafa’ yang setia menjaga isterinya yang terlantar akibat komplikasi penyakit kronik.
LUAHAN WANITA TERHARU ADIKNYA MEMILIKI SUAMI SIFAT WAFA’

Gambar oleh Suhaili Ikhsan.
Menurut Suhaili, selama tujuh tahun lelaki ini menghantar isterinya yang buta ke pusat dialisis tiga kali seminggu, walaupun rutin itu memenatkan dan ujian hidup tidak berhenti.
Akhirnya, komplikasi penyakit buah pinggang kronik menyebabkan luka di kaki isterinya tidak sembuh, hingga doktor mengesahkan kedua-dua kaki perlu diamputasi.
Luahan suami wafa’
Dalam momen paling getir itu, Suhaili Ikhsan berkongsi kata-kata lelaki ini,
“Selama ini B dah jadi mata Honey, Lepas ini B akan jadi kaki Honey pula. B masih ada dua kaki untuk Honey,” ayat-ayat ini diungkapkan ketika lelaki itu menenangkan isterinya selepas doktor memaklumkan amputasi kedua-dua kaki.
“Apabila doktor menyebut perkataan ‘amputasi’, dunia kami seperti terhenti seketika. Berita ini bukan hanya mengenai anggota badan yang hilang tetapi sisa mimpi dan harapan adik kami yang buta juga berkecai,” luah Suhaili.
Namun lelaki ini tidak berganjak. Tidak menyalahkan takdir. Tidak mengeluh tentang masa depan. Inilah definisi lelaki wafa’ iaitu teguh, setia dan diam-diam menjadi mata serta kaki si isteri.
“Suami wafa. Tetap setia walaupun derita. Keberuntungan terbesar seorang isteri bukan harta, bukan rupa, bukan status. Tetapi suami yang wafa’, yang tetap berkata, ‘Apa pun yang terjadi, abang ada.’,” kongsi Suhaili lagi.
Suhaili turut menyatakan lelaki seperti itu selalunya nampak kuat di luar, akan tetapi sebenarnya dia juga perlu diberikan sokongan daripada orang sekeliling.
Baca juga: Baru Jumpa Sekali Dah Rasa ‘Inilah Dia’… Betul Ke Jatuh Cinta Pandang Pertama Atau Mainan Hormon?

Gambar hiasan: Gemini AI
5 SOKONGAN PERLU DIBERIKAN
Malah, Suhaili Ikhsan berkongsi beberapa sokongan yang perlu diberikan kepada individu yang menjaga pasangannya sedang sakit.
1. Sokongan emosi
- Tekanan menjaga isteri sakit kronik sangat tinggi. Jadilah pendengar yang tidak menghakimi.
- Validasi perasaan mereka dan beri kata-kata harapan, contohnya: “Kau dah buat yang terbaik. Kami sebagai saksi.”
2. Sokongan fizikal dan praktikal
- Menjaga pesakit CKD dan amputasi bukan tugas kecil.
- Bantuan giliran menjaga (relief care) walaupun beberapa jam dapat meringankan beban.
3. Sokongan kewangan
- Dialisis 3 kali seminggu, rawatan susulan, ubat, prostetik dan pengubahsuaian rumah semuanya kos tinggi.
- Dia perlukan akses kepada bantuan kewangan.
4. Sokongan spiritual
- Doakan dia terus kuat dan tabah menempuh ujian.
5. Sokongan sosial
- Jangan biarkan dia berasa bersendirian.
- Elak memberi nasihat “bersabar” kerana dia sudah lama bersabar dan redha.
Kisah ini menjadi inspirasi bahawa kesetiaan dalam perkahwinan bukan hanya tentang kata-kata manis ketika sihat, tetapi tentang wujudnya sokongan tanpa syarat ketika derita melanda.
Suami wafa’ ini membuktikan bahawa kesetiaan sebenar adalah menjadi kuat untuk insan tersayang, walau ujian hidup mencabar setiap langkah.
Sumber: Facebook Suhaili Ikhsan
FT Image: Suhaili Ikhsan
