Euforia Bola 2026
Inspirasi

Anak Terengganu Raih PhD Kejuruteraan Aeroangkasa, Antara 27 Paling Berbakat Dunia Dalam ‘Vertical Flight’!

anak terengganu

Kisah kecemerlangan luar biasa anak Terengganu ini membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk melangkah jauh ke pentas dunia, apabila beliau kini berada di barisan hadapan penyelidikan penerbangan moden di Amerika Syarikat.

Menerusi perkongsian di Facebook MARA USA sempena ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat, Dr. Raja Akif Raja Zahirudin diperkenalkan dalam siri MARA Trailblazer yang menampilkan graduan tajaan MARA yang mencipta impak di Amerika Syarikat dan Kanada.

Baca juga: Muhammad Harraz, Bilal Cilik Kuasai 5 Teknik Taranum Azan… Suara Lunak Buat Ramai Sebak!

ANAK TERENGGANU RAIH PhD KEJURUTERAAN AEROANGKASA

anak terengganu

Gambar: Facebook MARA USA

Dari Kerteh ke Penn State & NASA

Berasal dari Kerteh, Terengganu, minat Dr. Raja Akif terhadap dunia penerbangan bermula sejak kecil apabila sering mendengar bunyi helikopter berulang-alik ke pelantar minyak berhampiran rumahnya.

Daripada persoalan ringkas “macam mana benda itu boleh terbang?”, lahir satu cita-cita besar dalam bidang aeroangkasa.

Beliau mendapat pendidikan awal di SK dan SMK Rantau Petronas sebelum menyambung pengajian di INTEC UiTM di bawah tajaan MARA.

Minat terhadap kejuruteraan terus berkembang dan membawa beliau melanjutkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Aerospace Engineering di Pennsylvania State University sebagai satu-satunya rakyat Malaysia dalam kohortnya pada tahun tersebut.

Cabaran persekitaran akademik yang kompetitif tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, ia membentuk daya tahan, jaringan antarabangsa dan fokus yang lebih jelas terhadap penyelidikan.

Dari Makmal Universiti ke kolaborasi bersama NASA

Ketika pengajian PhD, beliau berpeluang bekerjasama dengan NASA Langley Research Center.

Kajian beliau memfokuskan pembangunan Coaxial Acoustic Test System (CATS), sistem ujian dalam bilik anechoic bagi mengkaji bunyi rotor serta prestasi aerodinamik. Penyelidikan ini menyumbang kepada pembangunan pesawat generasi baharu termasuk teknologi electric Vertical Take-Off and Landing (eVTOL).

Pada tahun 2021, beliau tersenarai antara 27 pelajar kejuruteraan paling berbakat dunia dalam teknologi penerbangan vertikal apabila dikurniakan anugerah Barnes M. McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship.

Baca juga: “Nak Jadi Guru”- 3 Anak Orang Asli Kelantan Berjaya Masuk SBP, Cipta Sejarah Selepas Sedekad Tiada Kemasukan!

anak terengganu

Gambar: Facebook MARA USA

Terus melangkah di Georgia Tech

Kini, Dr. Raja Akif meneruskan penyelidikan sebagai GT-AE Postdoctoral Fellow di Georgia Institute of Technology. Beliau terlibat dalam pembangunan pesawat elektrik eVTOL NASA RAVEN GT serta penyelidikan aerodinamik di fasiliti John J. Harper Wind Tunnel.

Antara pencapaian beliau termasuk:

  • Georgia Tech Aerospace Engineering Postdoctoral Fellowship (2025)
  • Young Intellectual Award, IKRAM Muda Malaysia (2021)
  • Vertical Flight Foundation Barnes M. McCormick Scholarship (2021)
  • Kolaborasi penyelidikan PhD bersama NASA Langley
  • Yayasan Dayadiri Overseas Scholarship (2016)
  • Pingat Emas Yayasan Terengganu (2011)

Berpegang kepada prinsip “Ad Maiora Natus Sum” yang membawa maksud dilahirkan untuk melakukan perkara hebat, beliau menyeru anak muda supaya tidak memilih untuk menjadi biasa-biasa.  Setiap biasiswa dan peluang, katanya, adalah amanah untuk memberi kembali kepada masyarakat dan negara.

Kisah ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi simbol bahawa pelajar Malaysia mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia.

*Artikel asal digarap oleh Facebook MARA USA

Baca juga: Bukan Satu Tapi 7 Kali Khatam Al-Quran Dalam 13 Bulan & CGPA 4.00, Muhammad Ariffin Raih Anugerah Pelajar Cemerlang!

Sumber: Facebook MARA USA

FT Image: Facebook MARA USA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×