Dah masuk tahun 2026, tapi masih timbul perdebatan tentang situasi ibu lepas bersalin yang minum air secara terbuka ketika Ramadan. Kali ini, melibatkan seorang wanita di klinik ibu dan anak yang menjadi sasaran kritikan seorang individu di media sosial.
Di mana, satu perkongsian di Threads telah menarik perhatian ramai selepas seorang individu lain membalas satu tangkap layar komen yang mempertikaikan tindakan ibu tersebut kerana minum air di kawasan yang dianggap sebagai ruang awam.
Baca juga: Akibat Kesunyian, Wanita Warga Emas Nekad Hamil & Selamat Lahirkan Bayi Di Usia 59 Tahun!
IBU LEPAS BERSALIN DIKRITIK INDIVIDU KERANA MINUM DI KHALAYAK

“Baru lepas beranak pun jadi isu?”
Menerusi tangkap layar itu, individu berkenaan mendakwa ibunya pernah mengajar bahawa wanita yang tidak berpuasa kerana haid masih perlu menjaga adab di tempat awam dan tidak makan secara terbuka.
Dia turut menyindir ibu yang baru melahirkan anak berkenaan supaya mempunyai rasa malu dan mencari tempat tersorok sekiranya ingin minum air.
Tidak berdiam diri, pemilik akaun Threads tersebut membalas dengan nada tegas.
Katanya, kebiasaannya doktor akan menasihati ibu selepas bersalin supaya banyak minum air serta mengurangkan pergerakan bagi membantu proses pemulihan.
Dalam keadaan fizikal yang masih lemah, agak tidak munasabah untuk meminta seorang ibu berjalan jauh ke tempat lain semata-mata untuk meneguk air.
Tambahan pula, situasi berlaku di klinik ibu dan anak iaitu lokasi yang secara jelas menempatkan ibu dalam tempoh berpantang serta bayi yang memerlukan rawatan dan pemantauan.
Baca juga: Kontraksi Datang Mengejut! Detik Cemas Wanita Bersalin Dalam Bas, Selamat Lahirkan Bayi Kembar

Warga maya “puasa bukan untuk menghukum”
Meninjau di ruangan komen, ramai warga maya tampil mempertahankan ibu tersebut. Ada yang menegaskan bahawa puasa adalah tanggungjawab individu untuk mengawal diri sendiri, bukan untuk memantau atau menghukum orang lain.
Sebahagian warga maya turut mengingatkan bahawa dalam Islam, wanita dalam keadaan nifas, haid, sakit atau uzur sememangnya diberikan rukhsah untuk tidak berpuasa.
Mereka menyifatkan kritikan terbuka terhadap ibu berkenaan sebagai kurang empati, apatah lagi melibatkan wanita yang baru melalui proses kelahiran.
Pandangan ulama
Sebagai rujukan, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa individu yang mempunyai keuzuran adalah harus untuk tidak berpuasa dan dibenarkan makan serta minum pada siang hari Ramadan.
Dalam keadaan biasa, digalakkan menjaga sensitiviti awam, namun konteks kesihatan seperti ibu yang baru bersalin jelas terbatas pergerakannya perlu dinilai berdasarkan situasi sebenar.
Perdebatan ini telah membuka ruang peringatan bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga melatih kesabaran serta empati terhadap keadaan orang lain.
Baca juga: 11 Tahun Menanti Zuriat, Pemandiri Kanser Payudara ‘Rare’ Ini Akhirnya Bergelar Ibu!
Sumber: Threads @sicikin__ / Portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: Gemini AI
