Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadual mengumumkan kadar dividen KWSP 2025 pada Sabtu ini. Perkara itu dimaklumkan menerusi jemputan media yang dikeluarkan badan persaraan berkenaan bagi menghadiri sesi taklimat pengumuman dividen 2025 pada 28 Februari 2026.
DIVIDEN KWSP 2025 DIJANGKA DIUMUM SABTU INI

Menurut laporan media sebelum ini, kadar dividen KWSP bagi Simpanan Konvensional diunjurkan sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus, manakala Simpanan Shariah pula dijangka antara 5.5 hingga 6.0 peratus.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata unjuran tersebut selari dengan prestasi kukuh pendapatan pelaburan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kadar akhir masih bergantung kepada strategi realisasi keuntungan serta keperluan rizab jangka panjang dana persaraan itu.
Tambahnya lagi, pendekatan tadbir urus KWSP yang menekankan kelestarian dana turut menjadi faktor dalam menentukan kadar dividen yang mampan untuk pencarum.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan kadar dividen 2025 berpotensi berada pada paras 6.3 hingga 6.5 peratus.
Menurut beliau, peningkatan 11 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar bagi tempoh sembilan bulan 2025 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan memberi ruang kepada pembayaran dividen yang kompetitif.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion, meningkat berbanding RM57.57 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi suku ketiga sahaja menunjukkan lonjakan ketara apabila mencatatkan RM25.07 bilion, naik 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024.
Sebagai rekod, bagi tahun kewangan 2024, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.30 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.
Kini, tumpuan pencarum terarah kepada pengumuman rasmi Sabtu ini sama ada kadar dividen 2025 mampu menandingi atau mengatasi pencapaian tahun lalu.
Sumber: Berita Harian
