Bila cikgu maklumkan ada kes kutu di sekolah, ramai ibu bapa terus rasa kepala sendiri pun ikut gatal. Dalam situasi ini, ramai sanggup beli pelbagai ubat mahal, sedangkan sikat kutu bergigi rapat sebenarnya masih kaedah paling berkesan.
Perkara ini dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook yang menjelaskan realiti rawatan kutu pada masa kini.
Baca juga: Susah Nak Tidur Balik Lepas Terjaga Tengah Malam? Cuba 5 Cara Mujarab Ini Untuk Lena Semula!
SIKAT KUTU SI HERO SENYAP

Kenapa ubat tak lagi berkesan?
Menurut PHM, kutu pada hari ini dilaporkan semakin mempunyai rintangan (resistance) terhadap sesetengah ubat kimia.
Namun begitu, tiada kutu yang “kebal” apabila disikat menggunakan sikat besi bergigi rapat. Kaedah mekanikal ini tidak memilih kutu dewasa, anak kutu dan juga telur (nits) yang melekat pada rambut boleh dibuang sekali gus.
Sebab itu, walaupun harganya murah dan nampak biasa, sikat kutu masih dianggap sebagai “hero senyap” dalam rawatan kutu kepala.
Baca juga: Wanita Terengganu Ini Dikesan Miliki Jenis ‘Darah Emas’ Rh Null, Paling Rare Di Dunia!

Cara guna sikat kutu dengan betul
PHM turut berkongsi langkah yang boleh diamalkan ibu bapa di rumah:
- Basahkan rambut anak dan lumurkan perapi (conditioner) dengan banyak sehingga rambut menjadi licin. Ini membantu melambatkan pergerakan kutu.
- Gunakan sikat kutu dan sikat sedikit demi sedikit dari akar hingga ke hujung rambut.
- Setiap kali selesai menyikat, lap sikat pada tisu putih untuk melihat kutu atau telur yang berjaya dibuang.
- Ulang proses ini setiap hari sekurang-kurangnya untuk minggu pertama.
Selain itu, tidak perlu membotakkan kepala anak kerana ia boleh memberi kesan emosi. Tilam juga tidak perlu dibuang atau dibakar, memadai membasuh cadar dan sarung bantal menggunakan air panas.
PHM turut menegaskan bahawa masalah kutu bukan berpunca daripada pengotor, sebaliknya ia mudah merebak melalui sentuhan rapat sesama kanak-kanak.
Pendekatan konsisten dan teknik yang betul lebih penting berbanding rawatan mahal yang belum tentu berkesan.
Baca juga: Jangan Buang! Ini 10 Tumbuhan Liar Disangka Rumpai Tapi Sebenarnya ‘Stok Ubat’ Hidup Kita
Sumber: Public Health Malaysia
FT Image: Gemini AI
